Jawatankuasa Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027 merakamkan penghargaan atas peluang yang diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk sama-sama menjayakan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 - antara perlumbaan berbasikal paling berprestij di rantau Asia.
Menerusi perlumbaan LTdL tahun ini, Sekretariat MASOC selaku urusetia penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 akan memiliki platform terbaik untuk mempromosikan temasya sukan serantau Asia Tenggara ini bersama acara berbasikal yang cukup terkenal di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub, dalam ucapannya berkata, Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang bakal berlangsung hanya lebih kurang setahun sahaja dari sekarang, MASOC 27 memerlukan platform terbaik bagi memastikan temasya ini dipromosikan menerusi konsep ‘integrated marketing solutions’, sejajar dengan tanggungjawab mereka untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan penganjuran sukan terbesar di rantau Asia Tenggara ini.
"Keputusan kerjasama ini kami ambil berdasarkan keseluruhan pakej pulangan penajaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk mempromosikan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN ke seluruh dunia menerusi penyiaran televisyen antarabangsa.
“Ini selari dengan misi kami bagi memastikan khasnya jiran-jiran kita di Asia Tenggara diwar-warkan tentang acara ini semasa menonton perlumbaan berbasikal yang saya kira antara yang terbesar di Asia," kata Abdul Rashid pada majlis pengumuman kerjasama promosi Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 dengan LTdL 2026 di sini hari ini.
Menurutnya lagi, LTdL telah memberikan ruang promosi domestik yang sangat unik dan efektif.
“Selain penyiaran TV secara langsung sepenuhnya dan liputan di Astro Arena, Facebook dan YouTube, program-program promosi di sepanjang laluan seperti Cavalcade bersama pertandingan Voice of LTdL yang disertai puluhan ribu rakyat Malaysia sepanjang laluan, dijangka memberikan peluang yang cukup besar untuk acara ini dipromosikan ke seluruh Malaysia dengan kos yang sangat efektif dan menjimatkan.
“Penjenamaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 akan terlihat menerusi salah satu jersi utama perlumbaan LTdL 2026, iaitu Jersi Raja Pecut," katanya.
Abdul Rashid turut menyatakan kegembiraan atas kejayaan mendapatkan penjenamaan jersi ini, sambil menegaskan bahawa sejak kali pertama LTdL dilangsungkan 30 tahun lalu, jersi ini sentiasa menjadi antara rebutan utama dengan persaingan hebat dalam kalangan pelumba-pelumba handalan dunia untuk memilikinya.
Turut hadir di majlis itu ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Acara dan Sukan MSN, Safrushahar Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal.
Presenting to you ~ Jersi Raja Pecut LTDL 2026! Amacam? Lurveeee tak? Dan pastinya yang akan kita nantikan, siapakah yang bakal menyarung jersi rebutan ini?
Semua dah ready ke untuk saksikan kehangatan LTDL 2026? 🔥@ASTROARENA pic.twitter.com/zfgHC5SAOb— husnae (@husnazainudin_) September 21, 2026
Edisi ke-30 LTdL26 akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada Ahad ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar ke Putrajaya pada 4 Oktober depan, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.
Sebanyak 20 pasukan termasuk dua pasukan WorldTeam, lapan ProTeam, sembilan pasukan Benua dan satu pasukan kebangsaan Malaysia akan mengambil bahagian dalam edisi ke-30 kali ini.
Antara pakar pecut yang dijangka menghangatkan perebutan jersi biru Raja Pecut kali ini ialah pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli yang mengumpul enam kemenangan peringkat sepanjang LTdL23 hingga LTdL25 dan bergelar Raja Pecut LtdL24 ketika bersama pasukan Benua Jepun, UKYO.
Pencabar mungkin datang dari rakan sepasukannya Gleb Syritsa yang mengumpul 4 kemenangan peringkat; pelumba Tudor Cycling Team, Maikel Zijlaard yang pernah menduduki tempat ketiga peringkat di Giro d’Italia 2025 dan tempat kedua peringkat jelajah Tirreno-Adriatico 2025; pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Iuri Leitao yang menang peringkat di Tour of Qinghai Lake dan GP Anicolor tahun ini; Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu); Pierre Barbier (TSG) dan pelumba tempatan yang mewakili Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohd Izzat Hilmi Abdul Halil.
Sementara itu, Safrushahar berkata, MSN selaku antara jawatankuasa penting yang perlu memastikan kejayaan penganjuran Sukan SEA dan Para 2027 berterima kasih dengan kesudian MASOC untuk menjalin kerjasama dengan LTdL26.
Katanya, pihak MSN telah bersetuju supaya promosi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 ditonjolkan menerusi penjenamaan untuk jersi Raja Pecut, King of Sprint, pada LTDL 2026 ini.
“Kami pasti MASOC sendiri akan dapat melihat keberkesanan dan pulangan berganda menerusi kerjasama ini, terutama penyiaran dan pendedahan menerusi pelbagai saluran dari Icarus Sports ke peringkat antarabangsa.
“Tumpuan kamera setiap hari akan menyorot kepada perebutan mata untuk klasifikasi Raja Pecut, sama ada di zon-zon pecutan atau di garisan penamat, hinggalah hari terakhir Peringkat 8 di Putrajaya,” katanya.
Terdapat 24 zon pecutan di sepanjang lapan peringkat yang menawarkan 3, 2 dan 1 mata bagi tiga pelumba pertama di setiap zon, selain 15 mata di garisan penamat setiap peringkat.
Sebagai rekod, antara pelumba handalan dunia yang pernah memenangi jersi Raja Pecut LTdL adalah Luca Scinto (MG Maglificio-Technogym) pada 1997; juara dunia 2004 iaitu pelumba Mapei-Quickstep Paolo Bettini (LTdL2001); dan pemenang lima peringkat dalam Tour de France dan Giro d’Italia, Caleb Ewan (Orica GreenEdge) pada 2015.
Andrea Guardini yang mengumpul rekod 24 kemenangan peringkat sepanjang LTdL pernah muncul tiga kali sebagai Raja Pecut bersama tiga pasukan berbeza iaitu 2012 (Farnese-Vini), 2016 (Astana) dan 2018 (Bardiani).
LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dan mendapat kerjasama penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).