Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) hari ini telah menganjurkan Majlis Santunan Raya bersama anak-anak yatim di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Majlis penuh bermakna ini telah dihadiri oleh Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Setiausaha Agung MAM, S.N. Nanthan, serta barisan Ahli Exco MAM bagi menyemarakkan semangat Aidilfitri melalui perkongsian kegembiraan, kasih sayang dan keprihatinan bersama anak-anak yang diraikan.
Advertisement
Seramai 120 orang anak-anak dari Rumah Kasih Harmoni telah diraikan dalam majlis ini yang turut diisi dengan penyampaian sumbangan serta duit raya bagi menceriakan sambutan Aidilfitri mereka.
Dalam ucapannya, Mokhzani menekankan bahawa sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan tetapi merupakan simbol kesyukuran, kemenangan dan kebersamaan yang wajar dikongsi bersama seluruh lapisan masyarakat.
"MAM bukan sahaja komited dalam pembangunan sukan permotoran negara, malah turut memikul tanggungjawab sosial untuk menyumbang kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.

"Inisiatif seperti ini bukanlah yang pertama dan pastinya bukan yang terakhir bagi MAM untuk terus kembali menyantuni komuniti,” katanya.
Mokhzani turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Rumah Kasih Harmoni atas dedikasi dan usaha berterusan dalam menjaga kebajikan anak-anak, serta kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis tersebut.
MAM berharap agar lebih banyak inisiatif kebajikan seperti ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan dalam memberi impak positif dan menyantuni komuniti.