Lebih 250 peserta dari dalam dan luar negara berkampung di Kuala Terengganu bagi menghadapi Kejohanan Malaysian Open – The Royal Patron’s Cup yang berlangsung hingga 31 Oktober.
Ketua Jurulatih Boling Padang Negara, Fairul Izwan Abd Muin, menyifatkan persiapan akhir kontinjen negara berada di landasan tepat, dengan prestasi pemain memberikan petunjuk positif menjelang saingan.
Menurutnya, pasukan negara telah berada di Terengganu sejak Ahad lalu dan keyakinan pemain menjadi asas dalam menentukan sasaran bagi kejohanan kali ini.
Ujian gelanggang turut disertai pemain tempatan di luar program kebangsaan serta peserta antarabangsa dari sembilan negara, termasuk Hong Kong dan India.
Bagaimanapun, pemain negara di bawah Program Podium tidak kelihatan menjalani ujian gelanggang pada hari berkenaan selepas difahamkan memberi tumpuan kepada latihan berasingan, khususnya aspek kecergasan.
Pemain wanita Hong Kong yang berada di ranking kelima dunia, Cheryl Chan, menjangkakan saingan sengit walaupun sudah mengenali sebahagian besar pencabarnya.
Katanya, cuaca tidak menentu, termasuk panas, hujan dan angin, selain permukaan green luar yang tidak rata, menjadi antara cabaran utama. Keupayaan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dijangka menjadi faktor penentu.
Sementara itu, wakil India, Dinesh Kumar, yang berada di ranking ke-10 dunia, menyasarkan prestasi konsisten bagi mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 12 terbaik dunia dan memburu slot ke World Bowl Series Finals pada Disember.
Kejohanan ini sekali gus membuka peluang kepada peserta untuk menguji kemampuan serta mengumpul mata ranking dunia dalam persaingan yang dijangka sengit.