Pertembungan Speedy Tigers dan penyandang juara, India, di pentas final hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal menjadi pertembungan dua identiti permainan berbeza.
India hadir dengan reputasi sebagai kuasa besar hoki Asia, selain memiliki rekod pertemuan yang memihak mereka dengan 90 kemenangan daripada 128 pertemuan menentang Malaysia.
Namun, angka tersebut tidak menjadi alasan buat Speedy Tigers untuk gentar, apatah lagi skuad negara kini hanya selangkah daripada memburu pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan di Sukan Asia.
India pula mempunyai mesin pencetak gol berpengalaman, Harmanpreet Singh, yang cukup mengenali ancaman Malaysia — khususnya kepantasan pemain negara.
Harmanpreet mengakui Malaysia memiliki barisan pemain yang pantas, namun India mahu memastikan fokus diberikan kepada corak permainan mereka sendiri.
“Kami telah bertemu Malaysia banyak kali dan mereka cukup bagus.
“Beraksi di final, India akan memberikan yang terbaik, Malaysia juga akan memberikan yang terbaik.
“Malaysia memiliki kualiti pemain yang pantas namun kami akan cuba untuk memberikan tumpuan kepada permainan kami dan lihat apa yang akan berlaku dalam perlawanan itu nanti,” katanya.
Dengan India membawa pengalaman dan rekod pertemuan yang lebih memihak, Malaysia pula hadir dengan momentum serta peluang mencipta sejarah.
Segala statistik akhirnya akan diketepikan apabila wisel permulaan dibunyikan.
Bagi Speedy Tigers, 60 minit di pentas final adalah peluang untuk merealisasikan impian yang tertangguh sejak 1958 — emas Sukan Asia pertama buat hoki lelaki negara.