Skip to main content

Advertisement

Berita Sukan Am

Malaysia Therapist Team (MTT) aset negara: Rahsia keperluan pemulihan atlet bertaraf Sukan Olimpik!

wmf

Pasukan Malaysia Therapist Team (MTT) telah membuktikan keunggulan mereka di pentas antarabangsa apabila mencatat kejayaan luar biasa dalam Fillipina International Massage Championship 2026 anjuran World Massage Federation (WMF). Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah memperlihatkan bahawa bidang terapi dan rehabilitasi negara berada pada tahap profesional dan berdaya saing di peringkat global. Kejayaan ini mencerminkan gabungan kemahiran teknikal, pengalaman praktikal serta kefahaman saintifik yang tinggi dalam kalangan ahli terapi tempatan.

Keistimewaan MTT bukan sahaja terletak pada kejayaan pertandingan, malah disokong oleh latar belakang personel industri yang kukuh. Dianggarkan sebanyak 70% ahli MTT memiliki spa dan kedai urut sendiri, manakala sekitar 20% daripada mereka mengusahakan perniagaan yang mempunyai pelbagai cawangan. Hal ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja mahir dari sudut teori dan teknik, tetapi juga berpengalaman luas dalam mengendalikan pelanggan, memahami keperluan tubuh manusia serta mengaplikasikan rawatan secara konsisten dalam situasi sebenar. Pengalaman industri ini menjadi satu kelebihan besar yang boleh dimanfaatkan dalam konteks sukan berprestasi tinggi.

Advertisement

Dalam bidang sains sukan moden, terapi urutan memainkan peranan penting dalam membantu proses pemulihan atlet. Ia merangkumi aspek peningkatan aliran darah, pengurangan ketegangan otot, serta pemulihan tisu selepas latihan intensif atau pertandingan. Lebih penting, urutan juga dikenal pasti sebagai salah satu rawatan utama bagi mengatasi burnout atau keletihan melampau, iaitu keadaan yang sering dialami oleh atlet akibat tekanan fizikal dan mental yang berpanjangan. Oleh itu, kepakaran ahli MTT dalam teknik relaksasi dan pemulihan sangat relevan untuk menyokong prestasi atlet negara.
Bayangkan , sekiranya pasukan MTT diberi tanggungjawab untuk mengiringi atlet kebangsaan ke temasya besar seperti Sukan Asia atau Sukan Olimpik, impaknya dijangka amat signifikan. Atlet yang berdepan jadual pertandingan padat memerlukan pemulihan yang cepat dan efektif bagi mengekalkan prestasi optimum. Kehadiran ahli terapi yang berpengalaman dapat mempercepatkan proses recovery, seterusnya mengurangkan risiko kecederaan dan keletihan melampau.

Selain itu, rawatan terapi yang berstruktur mampu membantu dalam pengurusan kecederaan secara awal dan berkesan. Intervensi segera selepas pertandingan atau latihan dapat mengelakkan kecederaan kecil daripada menjadi lebih serius. Dengan kepakaran praktikal yang dimiliki oleh ahli MTT, pendekatan rawatan boleh dilaksanakan secara lebih sistematik dan menyeluruh, selari dengan keperluan atlet elit.

Dari perspektif psikologi sukan, sentuhan terapi professional juga memberi kesan positif kepada emosi dan mental atlet. Ia membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan fokus serta memberi rasa tenang sebelum dan selepas pertandingan. Dalam situasi berintensiti tinggi, keseimbangan antara fizikal dan mental amat penting untuk mencapai prestasi terbaik. Justeru, peranan ahli terapi bertauliah bukan sahaja tertumpu kepada fizikal, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan emosi atlet.

Kesimpulannya, kejayaan Malaysia Therapist Team bukan sekadar pencapaian dalam pertandingan, tetapi merupakan satu aset strategik kepada pembangunan sukan negara. Dengan pengalaman luas dalam industri, kepakaran dalam rawatan relaksasi serta keupayaan menangani burnout, MTT berpotensi besar untuk menyokong atlet kebangsaan di pentas antarabangsa. Oleh itu, penglibatan mereka secara rasmi dalam pasukan sokongan atlet negara wajar dipertimbangkan demi memastikan Malaysia terus cemerlang di persada dunia.

 

DISEDIAKAN OLEH:
TS DR HADAFI FITRI MOHD LATIP
PENSYARAH KANAN SAINS SUKAN UTM
FAKULTI SAINS PENDIDIKAN DAN TEKNOLOGI
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

Must Watch Video