Selepas lima pemain pasukan bola sepak wanita Iran memilih untuk mendapatkan visa kemanusiaan dari kerajaan Australia, baki skuad yang menyertai Piala Asia yang berlangsung di Gold Coast itu tiba di Malaysia pada pagi Rabu.
Perkara ini disahkan Kedutaan Iran di Malaysia selepas rakaman ketibaan skuad itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tular di media sosial awal hari ini.
Advertisement
Kehadiran mereka ke Malaysia bersifat sementara dan jangkaan kepulangan ke Iran adalah tertakluk kepada ketersediaan penerbangan serta pembukaan semula ruang udara Iran ekoran kemelut geopolitik negara itu dengan Amerika Syarikat dan negara haram Israel.
Kedutaan Iran di Malaysia turut mengesahkan para pemain berada dalam keadaan baik dan sihat, sementara jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei memaklumkan Iran menanti kepulangan mereka dengan tangan terbuka.
Pasukan bola sepak wanita Iran menimbulkan kontroversi apabila berdiam diri ketika lagu kebangsaan dimainkan menjelang perlawanan menentang Korea Selatan minggu lalu yang dilihat sebagai tanda penentangan terhadap republik Islam itu.
Bimbang dikenakan hukuman atau penganiayaan apabila kembali ke tanahair, lima pemain iaitu Zahra Sarbali Alishah, Mona Hamoudi, Zahra Ghanbari, Fatemeh Pasandideh dan Atefeh Ramezanizadeh dilaporkan meninggalkan hotel pasukan pada waktu malam dan dibawa ke lokasi selamat oleh polis Australia selepas mendapatkan suaka.
Baki pasukan turut ditawarkan kerajaan Australia untuk tinggal lebih lama, namun mereka bertegas untuk pulang pada Selasa dan memilih Malaysia sebagai lokasi transit dengan selaku pemegang passport Iran yang melancong ke Malaysia tidak perlu memohon visa bagi tempoh tinggal sehingga 30 hari.