Malaysia menutup kempen Kejohanan Dodgeball Asia 2025 apabila muncul juara keseluruhan menerusi kutipan tiga pingat emas, dua perak serta satu gangsa.
Tiga emas kem negara hadir menerusi divisyen foam kategori coed dan wanita di samping satu emas lagi daripada divisyen fabric bagi kategori campuran.
Advertisement
Bagi Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia, Datuk V. Radhakrishnan, berpuas hati dengan perjalanan kejohanan yang disifatkannya berjaya membabitkan penglibatan 12 buah negara dan 800 peserta keseluruhan.
"Saya gembira, kami menganjurkan kejohanan ini dengan baik meskipun kami hanya diberikan tempoh lima bulan kerana Hong Kong yang sepatutnya menganjurkannya.
"Terima kasih KBS yang banyak memberikan sokongan. Banyak negara gembira dengan penganjuran kali ini. Kami berharap keadaan stadium akan bertambah baik untuk lebih banyak penganjuran kejohanan dodgeball di sini," katanya.
Dia dalam pada itu turut mengesahkan Malaysia bakal bertindak selaku tuan rumah bagi Kejohanan Dodgeball Dunia yang dijadualkan berlangsung pada November 2026.
"Minggu lalu Saudi Arabia menarik diri daripada menganjurkan kerana tidak mendapat sokongan daripada kerajaan mereka.
"Jadi saya tidak melihat Malaysia ada halangan untuk anjurkan, negara lain yang mahu menganjurkan juga adalah Argentina. Hampir 99.9% Malaysia bakal menjadi tuan rumah tahun depan." tambahnya.