Tamat Piala Dunia 2026 yang penuh warna warni, tumpuan diberikan pula kepada persediaan untuk Piala Dunia Wanita yang akan berlangsung di Brazil, bumi yang sinonim dengan sukan bola sepak, bakal berlangsung pada musim panas 2027 dari 24 Jun sehingga 25 Julai nanti.
Antara benua yang mempersiap pasukan terbaik untuk menyinar dalam Piala Dunia Wanita nanti adalah Afrika dengan Algeria, Maghribi, Cameroon dan Malawi menjadi empat pasukan terbaharu yang mengesahkan slot automatik ke Brazil.
Semuanya atas aksi cemerlang yang dipamerkan sehingga melayakkan mereka mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika Wanita (WAFCON) yang sedang berlangsung di Maghribi dan merupakan syarat kelayakan utama dari benua itu.
Menariknya, Algeria benar-benar memanfaatkan kelebihan menentang Ivory Coast yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas N'Sira Oudraogo diperintah keluar padang. Algeria bangkit dari ketinggalan satu gol pada aksi suku akhir itu untuk menang 2-1 hasil jaringan Ines Khiri dan Amira Ould Braham, sekali gus menempah tempat ke Piala Dunia Wanita buat kali pertama.
Cerita kemaraan kali kedua Maghribi dalam Piala Dunia Wanita juga tidak mudah apabila perlu menewaskan Afrika Selatan dalam pertarungan sengit yang akhirnya memihak mereka 2-1.
Begitu juga Cameroon yang mencatat kemenangan 1-0 ke atas Nigeria. Gol tunggal yang dinantikan itu terhasil menerusi sepakan percuma menarik dari jarak 30 ela oleh pemain berusia 19 tahun, Myriam Nyadjou.
Slot keempat separuh akhir diisi Malawi yang berada di kedudukan ke-153 dunia. Kemaraan Malawi dianggap sebagai satu kejutan besar apabila menewaskan pasukan pilihan, Ghana, 2-1 menerusi kebangkitan yang menakjubkan menerusi jaringan Temwa Chawinga dan Rose Kadzere.
Pasukan dari benua Afrika juga beruntung apabila empat pasukan yang tewas di suku akhir WAFCON iaitu Ivory Coast, Afrika Selatan, Nigeria dan Ghana mempunyai peluang kedua untuk mencuri slot ke Piala Dunia Wanita.
Pada Khamis ini, Ivory Coast akan menentang Ghana dan Nigeria menentang Afrika Selatan dimana pemenang dari dua pertemuan ini akan mara ke pusingan play-off antara benua yang melibatkan 10 negara pada November dan Disember nanti.
Perjalanan ini sudah pastinya lebih berliku dimana daripada 10 negara yang menyertai pusingan play-off, hanya tiga sahaja yang akan meneruskan kemaraan.