Malaysia Martial Arts and Combat Sports Exhibition (MACX-1) bakal berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 November ini di AEON Mall AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Penganjuran itu menyediakan platform kepada atlet muda untuk memperlihatkan kemahiran, menguji kemampuan serta membina keyakinan diri dan semangat kesukanan menerusi pelbagai disiplin seni bela diri.
Acara berkenaan turut menyaksikan majlis perasmian MACX-1 serta pengisian khas berkaitan filem Bully: Is Not a Joke, yang membawa mesej bahawa seni bela diri perlu digunakan dengan penuh disiplin dan tanggungjawab.
Antara tarikan utama ialah MACX Warriors Arena yang bakal menampilkan pertandingan demonstrasi pelbagai disiplin seni bela diri.
Setiap peserta berpeluang mempersembahkan keunikan teknik, kemahiran, kreativiti dan semangat berpasukan masing-masing sebelum demonstrasi terbaik dipilih sebagai juara sulung MACX Warriors Arena.
Berteraskan tema “One Spirit, Many Disciplines – United Against Bullying”, MACX-1 bukan sekadar mengetengahkan keupayaan atlet, malah berhasrat menyatukan komuniti seni bela diri serta membentuk generasi muda yang berdisiplin, berkeyakinan dan saling menghormati.
Penganjuran itu diterajui Sensei Amirul Iman selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, di bawah naungan MACX-1 2026, Alyas Roy Haji Amir, dengan sokongan Persatuan Shito-Ryu Karate-Do Selangor.