Skip to main content

E-Sukan

M8 Turkiye 2027: Misi SRG, Team Rey tebus kehampaan, bawa pulang mahkota dunia

M8 Turkiye 2027: Misi SRG, Team Rey tebus kehampaan, bawa pulang mahkota dunia
Advertisement

Tiga tahun, enam musim dan 948 hari. Tempoh itu menjadi gambaran dominasi Selangor Red Giants (SRG) dalam saingan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL MY), dengan enam kejuaraan liga berturut-turut membuktikan kehebatan sebuah pasukan yang kini dianggap antara dinasti paling berpengaruh dalam arena e-sukan tempatan.

Namun, di sebalik segala kejayaan domestik yang diraih, masih ada satu trofi yang belum melengkapkan koleksi mereka — kejuaraan dunia Siri M.

Advertisement

Sejak membuat penampilan sulung pada M6 pada 2024, SRG berjaya membuktikan kemampuan bersaing di pentas tertinggi apabila menamatkan saingan sebagai pasukan ketiga terbaik pada M6 dan M7.

Dua pencapaian itu meletakkan SRG dalam kelompok elit dunia, tetapi bagi sebuah pasukan yang sudah terlalu biasa dengan kemenangan, kedudukan podium pastinya belum cukup untuk memenuhi aspirasi mereka.

Advertisement

Kini, peluang ketiga menanti apabila SRG sekali lagi bakal mengibarkan cabaran Malaysia di M8 Turkiye 2027, dengan misi memburu kejuaraan yang masih belum menjadi milik negara.

Lebih menarik, SRG mengekalkan barisan pemain utama yang sama bagi menghadapi cabaran kali ini, sekali gus memperlihatkan keyakinan terhadap formula yang membawa mereka mendominasi MPL MY selama enam musim berturut-turut.

Mengiringi SRG ke Turkiye ialah Team Rey, sebuah pasukan yang membuktikan perubahan percaturan mampu mengubah nasib sesebuah organisasi dalam tempoh singkat.

Pada awal musim, Team Rey bukanlah pasukan yang diletakkan dalam senarai pilihan utama untuk mencabar kejuaraan. Namun, perubahan strategi dan percaturan berjaya membawa mereka melangkah jauh sehingga mencabar takhta liga.

Kemuncak kebangkitan itu hadir menerusi pertembungan epik menentang SRG dalam Grand Final yang berlarutan sehingga permainan penentuan.

Pertarungan dua pasukan itu bukan sahaja mencuri perhatian peminat, malah mencatatkan jumlah tontonan tertinggi dalam sejarah penganjuran MPL MY.

Kejayaan mara ke M8 menjadi pengiktirafan terhadap kebangkitan Team Rey, namun cabaran di pentas dunia pastinya jauh berbeza berbanding saingan domestik.

Namun, perjalanan menuju pentas dunia tidak semuanya dipenuhi kegembiraan.

Bagi pemain SRG, Kyymm, musim ke-18 akan kekal sebagai detik yang sukar dilupakan apabila beliau kehilangan ayahanda tercinta ketika masih berjuang di pentas utama.

Tragedi itu menjadi satu lagi gambaran pengorbanan dan cabaran emosi yang perlu dihadapi pemain e-sukan, meskipun mereka dituntut untuk terus memberikan persembahan terbaik di hadapan ribuan penyokong.

Di sebalik sorakan dan kejayaan yang diraikan, setiap pemain mempunyai kisah peribadi yang tidak semestinya diketahui umum.

Di M8 Turkiye 2027, cabaran getir dijangka hadir daripada kuasa besar e-sukan dunia, khususnya wakil Filipina seperti Aurora dan Team Falcons.

Persaingan menentang pasukan Filipina secara tradisinya menjadi antara ujian paling sukar buat wakil Malaysia, berdasarkan rekod pertemuan yang sering memihak kepada lawan.

Justeru, SRG dan Team Rey bukan sahaja perlu membawa momentum kejayaan domestik, malah perlu tampil dengan persiapan taktikal serta mental yang lebih mantap untuk menghadapi persaingan antarabangsa.

Sejak Siri M diperkenalkan pada 2019, belum ada pasukan Malaysia berjaya menjulang trofi kejuaraan dunia itu.

SRG sudah membuktikan mereka mampu mendominasi Malaysia. Team Rey pula hadir dengan kisah kebangkitan yang cukup menarik.

Kini, persoalannya bukan lagi sejauh mana kedua-dua pasukan mampu bersaing, tetapi mampukah salah satu daripada mereka menamatkan kemarau kejuaraan dunia dan akhirnya membawa pulang mahkota Siri M ke tanah air?

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Must Watch Video