Membentuk diri sebagai juara Sukan SEA menjadi impian atlet taekwondo kebangsaan, Muhammad Luqman Hakim Suhaimi, yang bakal membuat penampilan ketiga di temasya itu tahun depan.
Memandangkan acara yang disertainya bukan dipertandingkan pada setiap edisi Sukan SEA, Luqman terpaksa menunggu lebih lama untuk merealisasikan impian bergelar atlet podium selepas gagal melakukannya dalam dua edisi terdahulu.
Menjelang Sukan SEA Malaysia 2027, Luqman berharap kategori 80 kilogram ke atas dapat dipertandingkan, selain sudah memulakan persiapan bagi membantu kontinjen negara memburu kejayaan di laman sendiri.
Menariknya, di sebalik komitmen sebagai atlet, pelajar setinggi 196 sentimeter itu turut menyimpan impian besar dalam bidang kulinari.
Luqman berhasrat membuka kedai makan selepas menamatkan pengajian dan suatu hari nanti bersara daripada skuad kebangsaan.
Dalam aksi final semalam, Luqman ternyata mendominasi pertarungan menerusi perbezaan kutipan mata yang besar.
Kelebihan itu membawa kepada kemenangan 2-0 ke atas wakil Sunway University, Lim Jia Wei, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Kejayaan itu pastinya menjadi suntikan semangat buat Luqman untuk terus memburu impian lebih besar, terutama menjelang Sukan SEA 2027 di Malaysia.
Selepas raih emas di SUKIPT, Luqman Hakim harap acaranya akan dipertandingkan di Sukan SEA 2027 dan sudah memulakan persediaan untuk bantu kontinjen Malaysia.#nadiweekend #SUKIPT pic.twitter.com/ftNd1J2nE8
— Astro Arena 🇲🇾 (@ASTROARENA) August 30, 2026