Mampukah Bardiani CSF 7 Saber mengembalikan kegemilangan pasukan profesional Itali dalam saingan edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL), 27 September hingga 4 Oktober depan?
Selaku wakil tunggal pasukan Itali, pasukan ProTeam yang akan disertai pengurus Mirko Rossato dalam saingan kali ini, telah menyenaraikan enam nama awal dan tiga pelumba simpanan dalam usahanya untuk memahat semula penguasaan kelab profesional Itali seperti yang pernah dilakukan Mapei pada awal edisi penganjuran.
Tampil kali pertama pada LTdL1999 dengan nama Navigare-Gaerne, kemudian Scrigno, Ceramica, Panaria-Fiordo, CSF Group, Colnago CSF, VF Group dan Green Project sebelum ini, Bardiani yang pernah mendominasi hampir semua pecutan terakhir menerusi Graeme Brown pada LTdL 2005, dilihat kurang menyerlah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kelab berpangkalan di Reggio Emilia, Itali itu sekadar menduduki tangga keempat keseluruhan dalam senarai berpasukan pada edisi 2025, ke-10 pada 2024 dan tempat ketujuh pada 2023.
Malah kali terakhir pasukan profesional Itali yang menjuarai klasifikasi berpasukan keseluruhan adalah Wilier Triestina-Selle Italia pada 2018, yang kini dikenali sebagai Vini-Zabu.
Dalam senarai pelumba yang dihantar kepada Sekretariat LTdL 2026, Bardiani meletakkan Luca Covili, Santiago Cruz Martinez, Martin Herreno, Andrea Montagner, Manuel Tarozzi dan Marco Manenti sebagai pelumba utama manakala Filippo Cettolin, Santiago Ferraro dan Matteo Turconi sebagai simpanan.
Jelas pelumba berpengalaman dalam enam Grand Tour dan 7 Klasik, Covili, 29, sekali lagi menjadi taruhan selepas menamatkan saingan di tangga ketujuh individu keseluruhan pada tahun lalu, di samping dua pelumba kelahiran Colombia iaitu Martinez, 20, dan Herreno, 19, yang turut beraksi tahun lalu pada laluan pendakian kali ini.
Bardiani juga mampu menyandarkan harapan kepada Tarozzi, 28, pemenang Peringkat 6 LTdL 2024 di Kulai, yang diharap mampu menggunakan pengalamannya berlumba dalam tiga Grand Tour dan empat Klasik, serta Montagner, 20, di laluan landai.
Persoalan hanyalah kepada Manenti, 23, pelumba yang menunjukkan banyak peningkatan dalam perlumbaan di Tour of Rhodes, Baku-Khankendi Azerbaijan dan Qinghai Lake musim ini tetapi mengalami kecederaan patah tulang jari akibat kemalangan di PostNord Tour of Denmark, Julai lalu.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL 2026, Emir Abdul Jalal, berkata Bardiani masih diyakini antara pasukan ProTeam terbaik Itali ketika ini, dan rekod pencapaian lalu adalah sebagai bukti terhadap kehebatan mereka.
“Mutu kayuhan Bardiani CSF 7 Saber tidak jauh beza berbanding dua pasukan ProTeam Itali lain seperti Polti VisitMalta dan Solution Tech NIPPO Rali.
“Mereka adalah antara pasukan awal yang memberi maklum balas kepada kami, selain dilihat ada daya tarikan tersendiri kerana sejarah penyertaan dalam LTdL, selain dominasi ‘kereta api oren’ oleh Graeme Brown dan Brett Lancaster suatu ketika dulu,” kata Emir dalam satu kenyataan, hari ini.
LTdL 2026 yang disifatkan antara jelajah paling sukar dalam sejarah penganjurannya kerana membabitkan pendakian di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands, akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar sejauh 193km dan berakhir pada Peringkat 8 (Muar-Putrajaya) sejauh 183.8km.
Jelajah berstatus 2.ProSeries dengan jarak keseluruhan 1,285.5km itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).