Pasukan ProTeam muka baru dari Amerika Syarikat (AS), Modern Adventure Pro Cycling menghantar barisan seimbang yang mampu menggugat pasukan lebih berpengalaman lain pada saingan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang akan bermula pada 27 September hingga 4 Oktober depan.
Sekalipun dianggap pasukan termuda kerana hanya ditubuhkan secara rasmi pada pertengahan 2025, pasukan berpangkalan di Greenville, Carolina Selatan dan Girona, Sepanyol itu mampu memberi impak besar pada tahun pertamanya dalam kancah profesional, untuk mencapai matlamatnya bersaing di pentas tertinggi seperti Tour de France menjelang 2032.
Berdasarkan senarai yang dihantar kepada Sekretariat LTdL26, pasukan yang akan dipimpin pengurus Alex Howes itu menurunkan tiga pendaki berkebolehan iaitu Stefan De Bod, Kieran Haug dan Leo Hayter; serta tiga pakar pecut iaitu Robin Carpenter, Scott McGill dan Riley Pickrell.
Nama De Bod, 29, bukanlah asing bagi peminat berbasikal negara ini kerana pelumba kelahiran Afrika Selatan itu pernah menyertai pasukan tempatan TSG tahun lalu dan berada di tempat kedua Peringkat 6 Batu Pahat-Kulai pada LTdL24 ketika bersama EF Education-EasyPost.
Dengan pengalaman luas menyertai empat kali Grand Tour dan empat Klasik sehari, De Bod yang pernah bersama pasukan Qhubeka, Dimension Data dan Astana, mempunyai sedikit sebanyak maklumat mengenai laluan di negara ini dan menjadi taruhan terbaik Modern Adventure untuk mencipta kejutan, lebih-lebih lagi dia berada pada tahap kecergasan terbaik selepas muncul juara kebangsaan ujian masa individu tahun ini dan di tangga keempat keseluruhan AIUla Tour di Australia.
Dua rakan pendaki De Bod ialah Haug, 23, pelumba kelahiran Brunswick, Amerika Syarikat yang pernah menjuarai jelajah terkemuka di benua itu, Tour of Gila tahun lalu tetapi di tangga kedua tahun ini, selain tangga keenam dalam kejohanan kebangsaan AS.
Hayter, pelumba berusia 25 tahun dari Britain yang sebelum ini mewakili Ineos-Grenadier pada 2022 hingga 2024 pernah mengungguli jelajah Giro d’Italia Giovanni B-23 pada 2022 dan di tahap kecergasan baik selepas berada di kedudukan kelima keseluruhan dan tempat ketiga Peringkat 3 Tour of Poitou-Charentes En Novelle, Perancis, bulan lalu.
Carpenter, pelumba 34 tahun AS yang pernah menganggotai pasukan ProTeam Rally dan UnitedHealth Care sebelum menyepi tiga tahun, diakui masih mempunyai sentuhan dengan kemenangan terbaru di Yarmouth Clam Bike Festival pada Julai, dan turut berlumba di PostNord Tour of Denmark, Ogos lalu.
Begitu juga rakan senegara McGill,27, yang pernah menang dua peringkat di Volta a Portugal 2022, satu peringkat di Tour of Rhodes 2024 serta satu peringkat di Tour of Gila 2024 dan pencapaian terbaru tempat kedua Peringkat 3 Istrian Spring Tour, Mac lalu.
Tumpuan ketika pecutan terakhir juga terarah kepada pelumba kelahiran Kanada, Pickrell, 25, yang pernah dua kali menang peringkat di Sibiu Cycling Tour 2024 dan 2025; kedua di Peringkat 4 Tour of Turkiye 2026 dan tempat ketiga Peringkat 1 Arctic Race Norway, Ogos lalu.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Modern Adventure yang ditubuhkan pelumba legenda George Hincapie tampil buat kali pertama di negara ini, mengingatkannya kepada pasukan seperti Uno-X Mobility dan Tudor Pro Cycling.
“Sama seperti Uno-X dan Tudor beberapa tahun lalu, mereka kurang dikenali ketika pertama kali bersaing dalam LTdL tetapi lihatlah di mana mereka ketika ini. Uno-X sudah bergelar pasukan WorldTeam manakala Tudor di landasan tepat menjadi pasukan elit itu.
“Tidak mustahil Modern Adventure yang kini berada di ranking ke-35 dunia, akan mengikut jejak langkah yang sama, lebih-lebih lagi mereka cukup giat berlumba di Amerika, Eropah dan kini Asia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Skuad Modern Adventure memanaskan badan di Grand Prix Cycliste de Quebec dan Montreal pada 11 dan 13 September ini serta Skoda Tour of Luxembourg dari 16-20 September, sebelum terbang ke Malaysia.
Edisi ke-30 LTdL26 akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 September ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.
Jelajah berstatus 2.ProSeries yang akan disertai dua pasukan WorldTeam, lapan ProTeam dan sembilan pasukan Benua, selain pasukan kebangsaan Malaysia itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).