Skip to main content

Berbasikal

LTdL 2026: Medan dunia untuk bakat Malaysia

LTdL 2026: Medan dunia untuk bakat Malaysia
Advertisement

Berakhir sudah lapan peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang menyajikan antara laluan paling mencabar dalam sejarah perlumbaan, namun edisi ke-30 itu meninggalkan lebih daripada sekadar catatan kemenangan pelumba antarabangsa.

Ia turut menjadi pentas penting untuk bakat tempatan menunjukkan kemampuan di hadapan pasukan-pasukan besar dunia.

Advertisement

Bermula di Shah Alam dan berakhir di Putrajaya, LTdL 2026 sarat dengan cerita — daripada persaingan jersi hinggalah kemunculan bakat baharu yang mula mencuri perhatian.

Lennart Jasch dari Tudor Pro Cycling muncul juara keseluruhan selepas baru dua tahun berkayuh secara profesional, malah turut membawa pulang jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles 02.

Advertisement

Jersi biru Raja Pecut menjadi milik Matteo Malucelli, manakala jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Majlis Sukan Negara dimenangi Yuhi Todome dari Aisan Racing Team.

Namun bagi Malaysia, ukuran kejayaan LTdL tidak seharusnya hanya terletak pada keputusan podium.

Ketua jurulatih skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan, Mohd Yusof Abdul Nasir, melihat barisan pelumba negara tahun ini sebagai bukti bahawa Malaysia mempunyai potensi besar selepas mereka berjaya menamatkan laluan paling sukar dalam sejarah LTdL.

Bagi Malaysia Pro Cycling pula, pengurusnya Sayuti Zahir mengakui persembahan tahun ini masih boleh diperbaiki, dengan sasaran musim depan lebih jelas — memburu podium pertama peringkat selain membantu pakar pecut Izzat Hilmi menerusi perancangan membawa masuk pelumba import.

Di pentas antarabangsa, Modern Adventure Pro Cycling pula melihat penyertaan sulung mereka sebagai pengalaman baharu apabila pelumba berdepan cabaran laluan dan cuaca yang cukup ekstrem.

St George Continental Cycling Team turut membuka pintu lebih luas kepada bakat Malaysia selepas Tsen Ren Bao muncul pelumba Malaysia terbaik dan pelumba kedua terbaik Asia.

Lebih menarik, pengarah sukan pasukan itu, Brett Dutton, tidak menolak kemungkinan lebih ramai pelumba Malaysia mengikut jejak Ren Bao pada masa depan.

Namun kejayaan Ren Bao hadir bersama sedikit rasa bercampur baur apabila adiknya, Tsen Ren Han, terlepas podium ketiga terbaik Asia pada saat akhir kepada pakar pendaki Terengganu Cycling Team, Kee Zhe Yie.

Bagi Ren Bao, perjuangan masih belum selesai.

Impian mendapatkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia akan diteruskan pada edisi akan datang — dan LTdL 2026 mungkin menjadi permulaan kepada lebih ramai pelumba Malaysia membuka pintu ke dunia profesional.
 

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Must Watch Video