Matteo Malucelli membuka tirai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dengan kemenangan selepas pelumba pasukan XDS Astana menjuarai peringkat pertama dari Shah Alam ke Kampar sejauh 193 kilometer.
Peringkat pembukaan edisi ke-30 LTdL berlangsung dalam suasana sengit apabila peloton yang dibarisi 119 pelumba daripada 20 pasukan mula mengatur strategi sejak kilometer awal perlumbaan.
Antara yang mencuri perhatian ialah pelumba Terengganu Cycling Team, Aiman Rosli, yang menjadi sebahagian daripada kelompok pemisah awal sebelum berjaya mengutip bonus masa dalam dua zon pecut perantaraan.
Aiman menduduki tempat ketiga dalam pecut pertama di Ijok pada kilometer ke-29, sebelum tampil lebih menyerlah dengan memenangi pecut kedua di Kuala Selangor pada kilometer ke-48.
Kemenangan itu membolehkan Aiman mengumpul empat saat bonus masa daripada dua pecut perantaraan, sekali gus membuka peluang untuk mengetuai klasifikasi pelumba Asia sekiranya penamat peringkat berlaku secara bunch sprint dan tiada pelumba Asia berada dalam kelompok tiga teratas.
Pada satu ketika, kelompok pemisah yang turut dibarisi Pablo Carrascosa, Javier Ibanez dan Andrei Stepanov memiliki kelebihan sekitar satu minit 20 saat berbanding peloton ketika berbaki 100km.
Namun, Aiman akhirnya terkeluar daripada kelompok hadapan ketika perlumbaan memasuki baki 70km.
Ibanez dan Stepanov kemudian meneruskan kayuhan di hadapan, sebelum kelebihan mereka semakin mengecil apabila peloton menghampiri.
Ibanez turut memenangi pecut perantaraan ketiga di Teluk Intan pada kilometer ke-149, manakala Stepanov tidak mencabar perebutan mata tersebut.
Kedua-dua pelumba akhirnya menunggu peloton dan perlumbaan kembali berkumpulan ketika berbaki 40km.
Situasi itu membuka ruang kepada pelumba-pelumba pecut untuk merebut kemenangan peringkat pertama, dengan Malucelli akhirnya muncul pelumba terpantas di garisan penamat.
Kemenangan tersebut memberikan Malucelli permulaan sempurna dalam edisi ke-30 LTdL, manakala Aiman pula boleh berbangga dengan sumbangannya dalam perebutan bonus masa serta persaingan klasifikasi pelumba Asia.
LTdL 2026 kini akan meneruskan saingan ke peringkat seterusnya dengan persaingan keseluruhan, klasifikasi pendaki, pelumba Asia dan pecut dijangka semakin sengit.