Skip to main content

Bola Sepak

Lingard sertai Corinthians, cabaran baru menanti di Brazil

lingard

Bekas pemain tengah Manchester United, Jesse Lingard memulakan pengembaraan baharu dalam kariernya selepas menyertai kelab Brazil, Corinthians.

Pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak sehingga hujung tahun ini dengan pilihan lanjutan sehingga 2027 sekiranya beberapa sasaran prestasi dipenuhi.

Advertisement

Menurut laporan, Lingard turut menerima tawaran daripada beberapa kelab lain, namun selepas berbincang dengan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Memphis Depay, dia segera membuat keputusan untuk berhijrah ke Brazil.

Perpindahan itu menyaksikan Lingard berpotensi menjadi pemain bola sepak England pertama beraksi dalam saingan divisyen utama Brazil.

Kelab dari Sao Paulo itu terkenal dengan sokongan penyokongnya yang fanatik, sehingga mereka sering menggelarkan diri sebagai “bando de loucos” atau “sekumpulan orang gila”, satu identiti yang dibanggakan oleh penyokong kelab tersebut.

Setiap kali Corinthians memperkenalkan pemain baharu berprofil tinggi, siren akan dibunyikan di ibu pejabat sosial kelab di Parque Sao Jorge, sama yang pernah dilakukan ketika ketibaan legenda seperti Socrates, Rivaldo, Carlos Tevez dan Ronaldo Nazario.

Lingard juga diberikan jersi bernombor 77, angka yang mempunyai makna istimewa buat kelab itu kerana merujuk kepada tahun 1977 apabila Corinthians menamatkan kemarau trofi selama 23 tahun dengan menjuarai Kejuaraan Negeri Sao Paulo.

Namun begitu, perpindahan tersebut menerima reaksi bercampur daripada media Brazil.

Bekas pemain Brazil, Luisao, berpendapat terdapat pemain lain yang lebih baik dan lebih murah untuk ditandatangani, manakala bekas pemain Shakhtar Donetsk, Ilsinho, merasakan Lingard tidak begitu dikenali di negara itu.

Penganalisis bola sepak terkenal Brazil, Mauro Cezar Pereira, turut menyifatkan perpindahan itu sebagai sesuatu yang agak pelik kerana Lingard sudah lama tidak beraksi pada tahap tertinggi.

Walaupun begitu, sokongan penyokong Corinthians dijangka memberi semangat baru kepada Lingard, namun mereka juga terkenal sebagai penyokong yang sangat menuntut komitmen penuh daripada pemain.

Dalam sejarah kelab, protes penyokong pernah membawa kepada pemergian pemain ternama seperti Roberto Carlos, Tevez dan Javier Mascherano, malah turut menyumbang kepada persaraan Ronaldo.

Kini di bawah bimbingan jurulatih Dorival Junior, kelab itu berharap kehadiran Lingard dapat menambah pengalaman antarabangsa dalam usaha mencabar dominasi kelab gergasi Brazil yang lain seperti Flamengo dan Palmeiras.

Must Watch Video