Kelantan Red Warrior (KRW) dalam kenyataan rasmi kelab berkongsikan tiga pemainnya disahkan positif influenza manakala lapan lagi bergejala selepas melakukan ujian saringan.
Menurut kelab, gejala itu telah dikesan sebelum aksi berdepan Johor Darul Ta'zim hingga menyebabkan beberapa pemain diturunkan dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya.
"Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) berdepan situasi sukar apabila tiga pemain disahkan positif influenza selepas menjalani ujian saringan yang dikendalikan oleh pihak perubatan kelab.
"Ujian saringan terhadap 17 lagi pemain pula mendapati lapan pemain menunjukkan gejala termasuk demam dan sakit badan. Kesemua pemain berkenaan kini dipantau rapi oleh pihak pengurusan dan pasukan perubatan.
"Gejala berkenaan mula dikesan sebelum aksi menentang JDT FC, menyebabkan beberapa pemain yang diturunkan terpaksa beraksi dalam keadaan kesihatan yang kurang baik.
"Bagaimanapun, para pemain tetap menampilkan semangat juang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
"Situasi ini memerlukan perhatian sepenuhnya bagi memastikan kesihatan pemain terjamin selain mencegah penularan jangkitan dalam kalangan pasukan terutama ketika saingan Liga Malaysia melibatkan Kelantan Red Warrior FC berlangsung dengan jadual yang dangat padat sehingga pertengahan September.
"Pihak kelab turut mengambil langkah sewajarnya dengan meminta doktor kelab melakukan pemantauan kesihatan secara berterusan serta mengasingkan tiga pemain yang disahkan positif bagi mengurangkan risiko penularan kepada pemain lain.
"Laporan perubatan juga telah dihantar kepada Malaysian Football League (MFL) sebagai makluman rasmi mengenai tahap kesihatan terkini skuad Kelantan Red Warrior FC." kongsi kelab itu.