Pemangku ketua jurulatih Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan, mengharapkan pengajaran sempurna telah diterima barisan anak buahnya.
Merujuk kepada kekalahan di pentas suku akhir Piala Malaysia tempoh hari, kedudukan Terengganu dan Kuala Lumpur (KL) City hanya dipisahkan dengan kesilapan kecil yang memberi impak besar untuk menafikan impian skuad Peteh mengisi slot final Piala Malaysia musim ini.
Advertisement
Lantaran itu, aksi di Gong Badak pada malam ini cukup penting buat tuan rumah menebus maruah.
Tiga mata perlu dipastikan walaupun skuad Warga Kota turun dengan reputasi yang cukup baik dalam enam perlawanan yang lalu.
"Hanya kesilapan ketika bertahan jadi saya tekankan kepada pemain mengenai kepekaan ketika bertahan (dan perlu) bertahan secara berpasukan.
"Dua perlawanan itu adalah akibat kelemahan dan kelalaian kami sendiri," katanya.
Berbaki tujuh perlawanan Liga Super, Tengku Hazman mengharapkan kelibatnya mampu mengatasi rekod musim lalu, sekurang-kurangnya untuk meletakkan Terengganu dalam kelompok lima terbaik.
Ketika ini, Terengganu telah mengumpul 28 mata keseluruhan dan memerlukan tujuh mata daripada tujuh perlawanan dalam usaha mengulangi rekod musim lalu.
"Secara peribadi, saya merujuk kepada kepada kedudukan tahun lalu.
"Kami mahu mengutip sebanyak mungkin mata dalam beberapa perlawanan lagi," katanya.