Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Saya masih mahu bermain bola sepak -- Mahali Jasuli

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mahal

Pemain berpengalaman Liga Malaysia (Liga-M), Mahali Jasuli, ternyata berpuas hati apabila berjaya bantu Melaka meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga Super  2025/26 ketika menewaskan PDRM 3-0 di Stadium Hang Jebat, kelmarin.

Lebih manis lagi, Mahali yang merekodkan debut dalam aksi tersebut turut menyumbang dua bantuan jaringan buat skuad Hang Tuah masing-masing pada minit ke-55 dan minit ke-90 perlawanan.

Advertisement

Bekas tonggak Harimau Malaya itu berkongsikan dia sedia untuk mengerah segala keringat yang ada jika khidmatnya diperlukan pengendali pasukan, E. Elavarasan dalam setiap perlawanan.

Untuk rekod, Melaka muncul pasukan Liga Super ketujuh buat pemain berusia 36 tahun itu selepas pernah menyarung jersi Selangor, Johor Darul Ta'zim, PKNS, Petaling Jaya city, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur City.

"Secara peribadi saya masih mahu bermain bola, sebelum ini ada beraksi dalam Liga Amatur, saya terbuka untuk datang ke sesi percubaan Melaka dan nak bantu pasukan.

"Selepas kalah dengan Penang, moral pemain semua tidak berada dalam keadaan baik. Hari ini semua pemain tekad cari kemenangan. Untuk saya dua bantuan jaringan bukan kredit untuk saya sahaja tetapi buat pasukan.

"Kemenangan ini pasti akan tambah keyakinan kami." tambahnya.

Must Watch Video