Daripada gaji ‘sangkut’ tiga bulan ke landasan tepat memburu kelompok lima terbaik Liga Super 2026/27.
Sabah kini bangkit melangkah ke hadapan, membuktikan kemelut kewangan yang pernah membelenggu kelab tidak menghalang The Rhinos untuk kembali memberikan cabaran kuat dalam kancah Liga Malaysia.
Dalam temubual bersama Zulhelmi Zainal Azam, pengurus Sabah, Arziz Afizy Rumsani, percaya pasukannya berada di landasan positif untuk menamatkan musim dalam kelompok lima teratas.
Skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu meraih 10 mata daripada enam perlawanan, hasil tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Kemenangan terbaharu 2-0 ke atas Terengganu menyaksikan The Rhinos kekal di tangga kelima dalam carta liga.
Ini berlaku setelah Sabah melalui fasa sukar, dibelenggu tunggakan gaji sehingga tiga bulan yang turut menyaksikan dua tonggak utama, stuart wilkin dan daniel ting 'angkat kaki' pada Januari lalu.
"Ini merupakan salah satu rancangan kami, seperti yang saya katakan perancangan adalah untuk kekalkan atau sekurang-kurang 'Top Five'.
"Jika semua di landasan tepat, selepas ini akan bertemu Kelantan di tempat lawan. Saya percaya Sabah mampu bersaing untuk capai sasaran musim ini." katanya.
Sudah jelas, perubahan pengurusan kelab pada Januari lalu jadi antara titik permulaan usaha membina semula kekuatan pasukan, sebelum Sabah muncul juara Challenge Cup.
Arziz turut memainkan peranan dalam fasa peralihan itu, dengan Juan Torres kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih pada Februari lalu.
Sabah kini mempunyai tempoh rehat sebelum berdepan Kelantan Red Warriors pada 21 November depan dengan tumpuan diberikan kepada pemulihan pemain yang masih cedera termasuk Park Jung-bin dan Hanafie Tokyo.