“Mentaliti pemain lebih positif.
Demikian penilaian ketua jurulatih Negeri Sembilan, Daniel Gimenez, biarpun pasukannya sekadar terikat 1-1 menentang Sabah semalam sambil Sang Badak turut lega berkongsi satu mata ekoran terpaksa berdepan beberapa kekangan termasuk isu kecederaan pemain di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, itu.
Pengendali skuad Jang, Gimenez melihat keberanian serta sikap dipamerkan anak buahnya di atas padang menandakan sesuatu yang positif, mentaliti pemain semakin positif untuk memburu kemenangan.
Baginya, mereka tidak berputus asa meskipun terpaksa bangkit daripada ketinggalan malah mencipta deretan peluang jaringan.
Dalam pada itu, penolong ketua jurulatih Sabah, Alto linus, menyifatkan keputusan seri itu sudah memadai apabila pasukannya terpaksa beraksi dalam keadaan serba kekurangan.
Kecederaan pemain, masalah peribadi serta faktor keadaan di stadium ketika perlawanan berlangsung antara cabaran yang terpaksa diharungi The Rhinos.
"Kecuali berdepan JDT (Johor Darul Ta'zim), kami sentiasa turun mencari tiga mata.
"Sebagai jurulatih, saya memerlukan mentaliti kemenangan seperti hari ini. Mudah-mudahan apabila berjumpa DPMM -- sebuah pasukan yang sedang berada dalam prestasi terbaik -- kami akan bersaing untuk mendapatkan tiga mata," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
"Dalam lima perlawanan awal ini, kami masih cuba meningkatkan prestasi pemain.
"Saya memberi pujian kepada Shahrulnizam Abdullah (19 tahun) yang menggantikan Dane Ingham dalam kesebelasan utama dan dapat menyesuaikan diri dengan pemain senior," katanya.