"Pihak pengurusan, tolong bagi kami jawapan"
Ketua jurulatih PDRM, Eddy Gapil, terus dihimpit kesukaran di antara keperluan untuk berjuang di atas padang sambil memikirkan isu kewangan yang membelenggu barisan pasukannya.
Advertisement
Menjelang perlawanan Liga Super bertemu DPMM, Eddy sekali lagi terpanggil untuk memohon agar ada maklum balas daripada pihak pengurusan Sang Saka Biru berhubung masalah kewangan supaya diselesaikan segera.
"Harapan saya agar pihak pengurusan tampil ke hadapan dan menerangkan kepada pemain, berikan sesuatu kepada mereka.
"Pemain pula akan memberikan sesuatu. Itu sangat pasti," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Juara MFL Challeng Cupp 2023 itu akan terbang ke Bandar Seri Begawan sebagai pelawat esok.
Eddy tidak menafikan bahawa PDRM kini bergantung sepenuhnya kepada empat wakil import yang diketuai Park Tae-soo bagi menamatkan badi kekalahan sejak enam aksi terdahulu.
"Kami mengalami enam kekalahan berturut-turut. Ia tidak menggambarkan prestasi sebenar kami.
"Disebabkan gangguan luar padang, ia mengacau mental pemain.
"Pasukan kami semakin mengecil selepas kehilangan beberapa pemain.
"Harapnya pemain-pemain yang ada kekal bersama pasukan sehingga tamat musim ini," tambahnya.