PDRM meraih satu mata berharga selepas mengikat Kuala Lumpur (KL) City 1-1 dalam kempen minggu ke-17 Liga Super 2025/26 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Anak buah Eddy Gapil yang menduduki tangga tercorot dalam carta liga selepas 11 kekalahan itu mendahului terlebih dahulu menerusi Elisha Kashim pada minit ke-12.
Advertisement
Meskipun pasukan pelawat giat mencari jaringan penyamaan, namun tiada sebarang penambahan jaringan susulan disiplin tinggi yang dipamerkan barisan pertahanan The Cop sehingga berakhir babak pertama.
Masuk babak kedua, rembatan Declan Lambert memecahkan kebuntuan KL City pada minit ke-62 untuk menewaskan Hakeem Hamidun untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Masa kecederaan yang diberikan pengadil perlawanan gagal dimanfaatkan sepenuhnya kedua-dua pasukan untuk terpaksa akur berkongsi satu mata di Selayang.
Keputusan itu meletakkan KL City kini terus berada di kedudukan ketiga liga dengan 30 mata, manakala skuad Sang Saka Biru di tangga terakhir liga dengan tujuh mata selepas 16 perlawanan.