Kesilapan teknikal menjadi antara kesulitan yang terpaksa dihadapi Negeri Sembilan ketika tewas 1-2 kepada Imigresen dalam perlawanan Liga Super di Paroi malam tadi.
Ketua jurulatih, Nidzam Jamil, mendedahkan berlaku kekeliruan membabitkan kebenaran menukar pemain import sebaik Yuichi Hirano dilayangkan kad merah pada minit ke-19, atas alasan sudah cukup kuota.
Advertisement
Kekeliruan itu jelas memberikan kesan domino terhadap perancangan skuad Jang berkenaan.
Sebaik Hirano diperintah keluar padang, strategi untuk kekal mendapatkan khidmat pemain import dari bangku simpanan tidak dapat diteruskan apabila komisar perlawanan, Abdul Wahid Abdul Hamid, tidak memberikan kebenaran.
Situasi itu membawa Nidzam kepada Pelan B tetapi keputusan tidak membenarkan penukaran pemain import diakui pihak komisar sebagai kekeliruan dan kesilapan teknikal, yang akhirnya meletakkan skuad Jang itu dalam situasi sukar sehingga ke akhir perlawanan.
"Kami diberitahu ada isu teknikal," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Selepas Yuichi dikeluarkan kerana kad merah, kami diberitahu tidak boleh membawa masuk pemain import lagi.
"Saya tidak faham kenapa situasi ini berlaku, saya terpaksa mengeluarkan orang lain dan kemudian secara tiba-tiba, mereka katakan boleh.
"Jadi ia situasi yang tidak menentu. Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini kerana ia seperti menembak orang lain tetapi kita perlu memperbaiki isu seperti ini."