Penolong ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, ingin membawa momentum kemenangan Challenge Cup menjelang perlawanan penting Liga Super membabitkan Kelantan The Real Warrior yang akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk menghadapi PDRM, Ahad ini.
Namun, dia mengakui kedua-dua tonggak import baru memerlukan masa untuk 'betul-betul masak' bersama dengan rakan sepasukan.
Advertisement
"Mereka tidak berkesempatan untuk berlatih bersama lama tapi ketika diturunkan kali pertama pun, kedua-dua pemain ini dapat sesuaikan diri di Stadium Batu Kawan kerana sudah biasa dengan suasana liga di Indonesia.
"Perkembangan dan kemenangan penting bagi meletakkan kami di pertengahan liga," katanya di Nadi Arena.
Akmal Rizal juga menggesa anak buahnya untuk tidak memandang rendah PDRM meskipun ketika ini mereka huni tangga tercorot liga.
Tiga mata sangat penting buat KTRW untuk menghuni carta pertengahan liga, sekali gus menjauhkan diri dari zon relegasi.
"Kami kene teruskan momentum tanpa kalah dalam tiga perlawanan.
"Walaupun PDRM di kedudukan terakhir liga, mereka telah mempamerkan peningkatan prestasi dalam Challenge Cup.
"Mereka bertahan sebagai sebuah pasukan. Kami perlu berhati-hati dengan serangan balas mereka," katanya.