Menjelang pertemuan Kuala Lumpur (KL) City berdepan Penang dalam kempen minggu ke-16, Liga Super 2025/26 malam ini, pemain tengah, Kenny Pallraj, sedia diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan selepas direhatkan dalam tiga aksi terakhir.
Bekas pemain Perak itu juga optimis skuad Warga Kota itu mampu meneruskan momentum di laman sendiri lebih-lebih lagi memegang rekod tanpa kalah mereka ketika menerima kunjungan skuad Harimau Kumbang di Stadium Cheras.
Advertisement
"Bagi saya aksi berdepan Penang satu perlawanan penting, prestasi mereka juga semaking meningkat naik.
"Bagi saya kami perlu fokus pada diri sendiri dan tidak terlalu fikir mengenai pasukan lawan, mungkin kami perlu tambah baik aspek penyudah kerana kena hukum lawan lebih awal.
"Saya rasa kami sedang lakukan persiapan terbaik untuk hadapi Penang," katanya.
Ketika ini, hanya tiga mata jadi buruan Kenny dan rakan sepasukan yang berjaya menewaskan Penang 2-1 dalam pertemuan antara kedua-dua pasukan Ogos lalu hasil jaringan Safawi Rasid dan Kamal Azizi.
Anak buah Risto Vidakovic mengekori rapat pendahulu carta liga iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan mengumpl 29 mata selepas 14 perlawanan.
Malah, 15 mata pula menjadi jurang antara KL City dan Penang di kedudukan kesembilan, selepas anak buah Wan Rohaimi hanya mampu mencatat empat kemenangan sahaja musim ini.
"Dengan kualiti yang ada kami perlu menjadi lebih baik, kami fokus tambah baik untuk beri aksi terbaik, kami mahu tiga mata kerana beraksi di laman sendiri. Saya sentiasa bersedia untuk beraksi." tambahnya.