Selangor terus memberikan tekanan kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), apabila meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Star City 1-0 dalam aksi liga sebentar tadi.
Bagaimanapun, kemenangan itu hadir dengan cabaran tersendiri buat skuad Gergasi Merah apabila kapten pasukan, Chrigor Moraes, dilayangkan kad merah pada babak kedua.
Selangor memulakan perlawanan dengan agresif apabila Moraes menguji benteng pertahanan lawan pada awal permainan, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Star City, Farhan Majid.
Farhan bagaimanapun tidak mampu menghalang jaringan pembukaan Selangor pada minit ke-15 apabila Hugo Boumous menyudahkan hantaran Moraes untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Star City turut berpeluang menyamakan kedudukan menerusi percubaan Pedro Santos pada minit ke-20, namun penjaga gol Selangor, Sikh Izhan, tangkas menepis percubaan itu.
Sepakan sudut Endrick dos Santos juga hampir membuahkan hasil buat pelawat, tetapi bola sekadar menggegar palang gol.
Selangor berpeluang menggandakan kelebihan sebelum rehat menerusi percubaan A-Selvan pada penghujung babak pertama, namun sekali lagi Farhan menjadi penghalang apabila berjaya menyelamatkan percubaan tersebut.
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Selangor berdepan situasi sukar apabila Moraes dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap Santos.
Insiden itu menyaksikan Gergasi Merah terpaksa meneruskan permainan dengan kekurangan seorang pemain, sekali gus memberikan peluang kepada Star City untuk memburu gol penyamaan.
Namun, Star City gagal memanfaatkan kelebihan jumlah pemain apabila penyudah tumpul menjejaskan usaha mereka untuk menembusi benteng Selangor.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, membolehkan Selangor mengutip tiga mata penting dalam usaha terus mengejar JDT di puncak liga.