Ketua jurulatih Imigresen, Yusri Che Lah, menegaskan pasukannya akan hadir ke Stadium Hang Jebat dengan misi wajib menang ke atas Melaka menjelang aksi Liga Super malam esok.
Meskipun tempang tanpa kelibat beberapa tonggak utama, Yusri percaya pemain sedia ada mampu menggalas tanggungjawab yang bakal diberikan demi merealisasikan misi kemenangan ketiga musim ini.
Advertisement
Antara pemain yang berada dalam senarai kecederaan 'The Mighty Tigers ketika ini ialah Amir Ali Chegini, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim, Halim Saari, Aiman Yusni dan Azfar Fikri.
Selepas mengharungi 11 perlawanan, kelab yang berpengkalan di Batu Kawan, Pulau pinang itu telah merekodkan dua kemenangan, tiga kepurusan seri dan enam kali tewas untuk mengutip sembilan mata setakat ini.
"Sejujurnya dengan melihat barisan yang saya bawa ke sini, saya sedar kami tidak berada dalam keadaan 100 peratus," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Tetapi kami masih menunggu sehingga esok untuk menentukan barisan terbaik dan apa yang boleh kami janjikan kepada peminat adalah kami akan berusaha.
"Kami sedar Melaka mungkin satu atau dua anak tangga di bawah kami, jadi mereka juga berkeinginan untuk mendapatkan tiga mata.
"Dan seperti mana yang saya katakan, ia untuk undian Piala Malaysia nanti, jadi kami harapkan kedudukan terbaik untuk kami nilai menjelang perlawanan esok.
"Apapun, tujuan dan hasrat kami adalah datang ke sini untuk mendapatkan tiga mata, jadi pemain perlu memberikan yang terbaik."
