Penolong jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, merayu agar pihak pengurusan segera menyelesaikan isu gaji tertunggak selama dua bulan yang berlaku tahun ini.
Ia bagi memastikan Syawal tahun ini tidak bertukar menjadi kisah pilu buat barisan pemain yang terus setia mempertahankan maruah pasukan.
Advertisement
"Keletihan bukan alasannya kerana semua pasukan bermain dalam tempoh yang sama.
"Apabila tewas satu demi satu perlawanan, mungkin pemain tidak mampu bangkit dengan segera.
"Dalam masa sama, ada beberapa masalah di luar padang yang belum diselesaikan. Memang akan ada kesannya terhadap pemain dan barisan kejurulatihan.
"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana selepas ini kami akan berhabis-habisan menghadapi Penang dan cuba meraih keputusan terbaik di sana.
"Saya harap bukan saya yang perlu ambil tanggungjawab ini, tapi pihak-pihak tertentu juga perlu membantu pasukan," katanya selepas tumpas 0-2 dalam 'derby' Lembah Klang, tengah malam tadi.
Ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut kelab berkenaan dalam kancah Liga Malaysia.
Dalam masa sama, Gervane Kastaneer dan Shervoni Mabtshoev muncul wira Terengganu apabila masing-masing meledak gol pada babak kedua.
Ia menjadi satu kemenangan bermakna buat skuad Peteh berikutan kehilangan Shahrul Nizam Roshasni, Rahadiazli Rahalim dan Haqimi Azim Rosli termasuk Akhyar Rashid yag terpaksa diketepikan enam minggu akibat patah tulang selangka.
"Pemain yang mengambil tempat ketiadaan Akhyar dan Shahrulnizam mampu bawa watak dan karakter mereka.
"Tapi kami gagal terjemahkan peluang terhidang, kalau tidak kami pasti mampu bunuh perlawanan hingga membuatkan kami tertekan di hujung perlawanan," kata pemangku jurulatih Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan.