Penyerang Terengganu, Careca, memasang impian untuk melihat anaknya menyarung jersi kebangsaan sebagai rakyat Malaysia yang sah suatu hari nanti.
Careca atau nama sebenarnya Rai Anderson Da Costa Morais menimang cahaya mata kedua di Terengganu bulan lalu, sekali gus membuka peluang buat anaknya memiliki kaitan utuh dengan Malaysia.
Advertisement
Ketika detik kelahiran itu, Careca membuat keputusan untuk tidak bersama pasukan dalam dua perlawanan penting, termasuk aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur (KL) City.
"Keluarga perlu didahulukan.
"Saya juga bangga dengan Terengganu.
"Anak saya yang dilahirkan di Terengganu mempunyai sijil kelahiran Malaysia, tapi dia mempunyai pasport Brazil tapi boleh menukarnya sekiranya ingin mewakili Malaysia.
"Saya berharap dia menjadi seorang pemain bola sepak.
"Mungkin dia boleh mewakili Malaysia, kita tidak tahu pada masa akan datang," katanya.
Careca kini mengharungi musim panjang dalam kariernya apabila beraksi tanpa rehat sejak bersama kelab terdahulu, Gangneung FC, dalam Liga K3 Korea Selatan.
"Saya perlu menjaga diri sendiri, kawal pemaknan dan pemulihan. Ia bukan satu masalah.
"Saya sudah bermain 40 perlawanan berturut-turut, sudah setahun setengah saya bermain tanpa henti," katanya lagi.
Bekas tonggak Perak itu membantu skuad Penyu menewaskan Kelantan The Real Warriors 2-0 dalam perlawanan Liga Super di Selayang, Jumaat lalu.