Gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) kekal di Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas pemain tengah, Afiq Fazail, diangkat sebagai Pemain Terbaik Musim 2025/26 dalam Liga M Awards, sebentar tadi.
Setelah anugerah itu yang didominasi rakan sepasukan, Arif Aiman Hanapi sejak 2021 -- dan kini dijenamakan semula dan ditentukan menerusi undian barisan jurulatih, kapten pasukan, serta wakil media -- Afiq menjadi pilihan untuk mengungguli gelaran paling berprestij tersebut dengan menjadi tonggak penting Harimau Selatan musim lalu.
Buat julung kalinya gelaran MVP dianugerahkan kepada pemain tengah selepas kali terakhir dimenangi Safiq Rahim pada 2015.
"Sedikit sebanyak saya belajar daripada Safiq Rahim, saya pernah bermain bersamanya selama beberapa musim.
"Ini semua kerja berpasukan untuk mendapatkan (Anugerah) MVP ini.
"Saya lebihkan (kejayaan) pasukan dan rezeki macam ini akan datang kemudian.
"Mungkin orang sudah buka mata dengan (sumbangan) pemain tengah," katanya yang turut memenangi gelaran Pemain Tengah Terbaik buat kali ketiga.
Dalam masa sama, dicalonkan di samping pengendali Selangor, Kim Pan-gon dan Aidil Sharin Sahak (Kuching City), Xisco Munoz muncul Jurulatih Terbaik selepas mengemudi JDT ke musim cukup cemerlang, tanpa tewas dalam kancah tempatan.
Ketua jurulatih dari Sepanyol itu mendedahkan Harimau Selatan meletakkan sasaran lebih tinggi dalam mencipta sejarah baru.
"Hasrat kami seterusnya ialah untuk memenangi Piala Shopee dan mara ke separuh akhir dan final Liga Juara-Juara Elit (ACLE).
"Ia sukar, jadi kami perlu terus kompetitif di Malaysia dengan meneruskan ketekalan dan keampuhan," katanya pula.
Lain-lain senarai menyaksikan Quentin Cheng tampil sebagai pemain Selangor yang pertama untuk dinobat sebagai Pertahanan Terbaik, sementara Faisal Halim muncul Penyerang Terbaik dan pemain Gergasi Merah pertama untuk memenangi anugerah tersebut sejak Hazwan Bakiri pada 2016
Senarai penuh pemenang Liga M Awards:
Penjaga Gol Terbaik: Syihan Hazmi Mohamed (JDT)
Pertahanan Terbaik: Quentin Cheng (Selangor)
Pemain Tengah Terbaik: Afiq Fazail (JDT)
Penyerang Terbaik: Faisal Halim (Selangor)
Pemain Import Terbaik: Bergson da Silva (JDT)
Pemain Muda Terbaik: Haziq Kutty Abba (Penang)
Gol Terbaik Liga Malaysia: Ramadhan Saifullah Usman (Kuching City)
Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super: Safawi Rasid (KL City)
Penjaring Terbanyak Liga Super: Bergson da Silva (JDT)
Pasukan Terbaik: JDT
Anugerah Fair Play: Melaka
Penyokong Terbaik: Boys of Straits (JDT)
Kesebelasan Utama Pilihan Penyokong: Haziq Nadzli, James Okwuosa, Eddy Israfilov, Rodney Celvin Akwensivie, Petrus Shitembi, Danial Amier Norhisham, Afiq Fazail, Oscar Arribas, Arif Aiman Hanapi, Bergson da Silva dan Ramadhan Saifullah Usman.