Reaksi pemilik bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Omar Berrada, ketika undian fasa liga Liga Juara-Juara menjadi tular di media sosial.
Kedua-duanya berada di Monaco ketika undian berlangsung semalam dan kamera sempat merakam ekspresi mereka selepas mengetahui barisan lawan yang bakal dihadapi United.
🎥 - Sir Jim Ratcliffe and Omar Berrada reacting to Man Utd's UCL draw. [@UtdKev08] pic.twitter.com/T6kQzZ7gCd
— UF (@UtdFaithfuls) August 27, 2026
Ratcliffe dilihat mengangkat kening, manakala Berrada turut menunjukkan reaksi yang dianggap penyokong sebagai tanda kebimbangan terhadap cabaran yang menanti.
United kembali ke pentas Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu di tempat ketiga, peningkatan besar berbanding kedudukan ke-15 pada musim 2024/25.
Namun, undian kali ini memberikan mereka beberapa pertembungan sukar.
Antara lawan yang bakal berkunjung ke Old Trafford ialah Bayern Munich, AS Roma, RB Leipzig dan Sabah, manakala United perlu bertandang ke gelanggang Atletico Madrid, Sporting, Villarreal dan Como.
Pertemuan dengan Bayern khususnya curi perhatian kerana kedua-dua kelab kali terakhir bertemu tiga tahun lalu, dengan wakil Jerman itu muncul pemenang.
Ekspresi Ratcliffe dan Berrada selepas undian segera menjadi bahan perbincangan penyokong di media sosial.
Ada yang menganggap kedua-duanya kelihatan bimbang selepas melihat senarai lawan United.
Antara komen yang muncul termasuk: “Mereka nampak tertekan.”
Seorang lagi menyindir, “Bila sedar pasukan anda belum bersedia untuk Liga Juara-Juara.”
Ada juga penyokong yang mula membayangkan masalah taktikal serta pertahanan United ketika berdepan pemain-pemain bertaraf dunia.
Menariknya, United turut dijadualkan bertemu Sabah, kelab Azerbaijan yang menjadi antara pasukan paling muda dalam sejarah pertandingan selepas penubuhannya kira-kira sembilan tahun lalu.
Dengan beberapa lawan gergasi menanti, reaksi spontan Ratcliffe dan Berrada itu mungkin sekadar kebetulan -- tetapi bagi penyokong United, ekspresi tersebut sudah cukup untuk mencetuskan pelbagai teori sebelum saingan bermula.