Pertemuan dengan Kedah Darul Aman (KDA) tidak boleh diambil ringan oleh UM-Damansara United, meskipun umum mengetahui lawannya itu berada di tangga tercorot Liga A1 Semi-Pro.
Tiga mata penting di Stadium UPM, Serdang, petang esok, wajib berada dalam genggaman jika mahu terus kekal dengan kedudukan yang baik berbaki beberapa perlawanan sebelum saingan liga tamat.
Advertisement
Jelas ketua jurulatih, Ridzuan Abu Shah, tidak banyak perubahan yang bakal dilakukan -- tatkala kesemua pemain dilaporkan cergas dan diharap mampu berikan aksi terbaik -- selain hasratnya untuk mengekalkan kesebelasan utama yang hampir sama seperti ketika menentang seteru dari utara itu dalam pusingan pertama liga.
"Walaupun KDA berada di tangga tercorot, kami tidak seharusnya memandang rendah.
"Kami masih ada visi utama iaitu untuk layak secara merit.
"Saya harus peringatkan pemain untuk nilai mereka dan pasukan.
"Kami masih di atas landasan yang bagus dan kami tidak harus kehilangan mata dalam tiga perlawanan seterusnya menentang KDA, Manjung City dan Bunga Raya. Apatah lagi kalah, " katanya.