Penyerang Selangor II, Abdul Rahman Daud, menjadikan persaingan merebut Kasut Emas Liga A1 Semi-Pro sebagai motivasi buat dirinya untuk membantu pasukan mencapai kemenangan demi kemenangan.
Semalam, tonggak bawah 23 tahun negara itu meledak satu gol untuk membantu skuad muda Gergasi Merah menewaskan Imigresen II, 4-0 sekali gus merekodkan 18 gol keseluruhan, setakat ini.
Advertisement
"Kami buat persediaan yang baik walaupun sukar -- berlatih di atas padang sintentik dan pada malam hari ini.
"Kami dapat gol awal dan kemenangan 4-0 menunjukkan mutu persembahan yang baik.
"Adalah menjadi impian saya untuk menjadi penjaring terbanyak dan mengalahkan pemain import.
"Apa pun pasukan perlukan tiga mata, sesiapa yang muncul penjaring tiada masalah kerana yang lebih penting kami dapat terus mencabar kejuaraan," katanya diwawancara dengan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam..
Jaringan Selangor II dijaringkan oleh Nazwan Abdullah dengan dua gol -- sebagai pemain gantian -- sementara Haykal Danish dan Abd Rahman menyumbangkan satu gol.
Nazwan meledak pada minit ke-83 dan 86.
"Tiga mata penuh (dikutip), saya pun terkejut juga masuk-masuk sahaja terus jaringkan dua gol. Saya harap ibu bapa bangga dengan saya.
"Sebelum dimasukkan, jurulatih sempat berpesan agar saya curahkan segala kudrat untuk tempoh 10 minit terakhir," katanya.