Imigresen FC II mencatat kemenangan keenam dalam Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 selepas mengatasi Malaysian University Football Team (MUFT) 2-1, malam tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium UPM, Serdang itu, Imigresen II terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang import, Said Khamis, pada minit ke-22 permainan yang juga merupakan gol kesembilan peribadinya musim ini.
Advertisement
The Mighty Tigers terus menjarakkan kedudukan dengan gol kedua dalam babak kedua menerusi Norzaiful Zaizurin sebelum sentuhan Alif Imran merapatkan jurang buat MUFT.
Lantas, kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Azlan Ahmad tersebut ke kedudukan kelima Liga A1 Semi-Pro.
"Kami beroleh tiga mata yang berharga.
"Tahniah kepada MUFT kerana telah memberikan saingan hebat.
"Saya sentiasa ingat-ingat anak buah bahawa setiap perlawanan penting dan tidak memandangkan rendah kepada mana-mana pasukan.
"Kami bermain dengan sedikit berhati-hati dan bertahan tapi itu bukan yang dituntut," kata jurulatih penjaga gol Imigresen II, Azmin Azram.
MUFT pula bercadang untuk menggandakan sesi latihan demi memperkemaskan permainan berikutan kekalahan ke-10 musim ini dan tersepit di kedudukan ke-14.
"MUFT berikan kualiti yang ada untuk mengekang Imigresen II daripada membuat jaringan tambahan.
"Kami tertekan dengan asakan pihak lawan dalam tempoh 15 minit awal permainan sebelum mengasak mereka dalam separuh masa kedua.
"Rehat tiga minggu ini akan digunakan untuk membuat kerja tambahan -- perbaiki kesilapan dan tambah tenaga pemain," kata penolong ketua jurulatih MUFT, Fadhil Hashim.
