Perlawanan cukup beremosi.
Johor Darul Ta'zim (JDT) II hampir mengalami kekalahan ketiga berturut-turut, namun kebangkitan pada minit-minit akhir menyaksikan tuan rumah mencipta magis untuk kembali di landasan kemenangan menewaskan Malaysian University 4-3 dalam perlawanan Liga A1 Semi-Pro malam tadi.
Pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Adim Muzahhir Saipu Azuan sebelum Daniesh Amiruddin menyamakan kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama.
Malaysian University kemudiannya kembali di hadapan, namun Daniesh memperoleh gol kedua pada minit ke-81 menyaksikan kedua-dua pasukann terikat 2-2.
Malaysian University sekali lagi mengejutkan pelapis Harimau Selatan itu pada minit ke-85 apabila jaringan Arif Imran pula kembali memberi kelebihan untuk menghadiahkan kemenangan kedua mereka dalam saingan liga.
Namun, kebangkitan memukau pada minit-minit akhir menyaksikan JDT II tidak mengaku kalah tatkala dua gol dalam masa lima minit daripada Celso Bermejo (M-90, M-95) menggegar Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, sekali gus memberi kemenangan bergaya 4-3 buat juara bertahan.
Dalam perkembangan lain, Kedah (KFA) mengejutkan naib juara musim lalu, Selangor II, 1-0.