Dua gol Wan Ahmad Kuzri memastikan UM-Damansara United meraih satu mata berharga selepas mengikat Armed Forces 2-2 dalam saingan minggu ke-20, Liga A1 Semi-Pro 2025/26 di Stadium Mindef, Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Pasukan tuan rumah mendahului terlebih dahulu menerusi tampanan Hairul Iqmal pada minit ke-22 sebelum sepakan leret Wan Kuzri kembali mengikat kedudukan 1-1 selang empat minit kemudian.
Advertisement
Beberapa siri serangan yang diatur kedua-dua pasukan tidak menemui penyudah untuk menutup babak pertama dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Masuk babak kedua pula menyaksikan tandukan Zafri Zakaria pada minit ke-65 mengelirukan penjaga gawang UM-Damansara untuk tewas buat kali kedua.
Ketika anak buah Kevin Cooper hampir mengesahkan tiga mata di laman sendiri, rembatan Wan Kuzri memastikan UM-Damansara mencuri satu mata berharga untuk berada dalam kelompok empat teratas saingan liga dengan 37 mata selepas 19 perlawanan.