Armed Forces berdepan misi sukar apabila melayan kunjungan pendahulu Liga A1 Semi-Pro, Selangor II, esok.
Armed Forces mengalami kejatuhan prestasi selepas gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir.
Advertisement
Skuad kendalian Kevin Lee Cooper sekadar seri menentang Bunga Raya dan Imigresen II sebelum tewas mengejut kepada Kelantan WTAS, Sabtu lalu.
Atas dasar itu, Kevin bergantung harap magis penyerang utamanya, Muhammad Hadi Mohamad -- penjaring terbanyak pasukan dengan lapan gol -- untuk mengetuai misi getir menggempur gawang Selangor II.
Armed Forces sudah rangka strategi untuk mengutip mata dalam pertemuan ini pada ketika Selangor II dijangka membariskan pemain terbaik tanpa komitmen panggilan pemain ke skuad utama.
"Kami melakukan persiapan rapi dalam tempoh tiga hari ini.
"Bukan mudah untuk menghadapi Selangor II mahupun Johor Darul Ta'im (JDT) II berdasarkan pemain yang mereka miliki.
"Kami teruja untuk hadapi mereka. Ini ujian buat pemain muda kami.
"Pemain Selangor gemar mencetuskan masalah dan berani mengambil risiko.
"Kami perlu perkemaskan pasukan, imbangi kualiti mereka dan menguasai bola dengan lebih baik," kata ketua jurulatih, Cooper.