Amateur Football League (AFL) percaya tiada pasukan akan menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi Pro musim 2026/2027 meskipun pertandingan kini sudah memasuki minggu ketujuh.
Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri, berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan kelab-kelab yang bertanding bagi mendapatkan perkembangan semasa, khususnya berkaitan kebajikan dan kelangsungan operasi pasukan.
Beliau mengakui kebimbangan mengenai kemungkinan pasukan menarik diri bukan perkara baharu dalam saingan Liga A1, namun AFL sentiasa berusaha mengelakkan situasi berkenaan daripada berlaku.
“Kerisauan itu ada setiap tahun dan perkara ini pernah berlaku dalam Liga A1, tetapi ia masalah yang sentiasa kami cuba elakkan,” katanya.
“Berdasarkan senarai pasukan musim ini, potensi pasukan menarik diri adalah tipis seperti yang dinyatakan sebelum ini,” katanya.
Mengulas situasi yang sedang dihadapi Imigresen-Dua, Raimi percaya bekas juara Liga A1 edisi 2023 itu mampu meneruskan cabaran sehingga penghujung musim.
Terdahulu, laporan Nadi Arena pada Isnin menyatakan Imigresen-Dua difahamkan sedang mengadakan rundingan bersama pemain bagi menentukan kaedah pembayaran baharu demi memastikan kelangsungan kelab.
Situasi itu menjadi antara perkara yang diberikan perhatian dalam usaha memastikan setiap pasukan mampu meneruskan penyertaan sepanjang musim.
AFL dijangka terus memantau perkembangan kelab dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan pemain serta kestabilan pasukan tidak menjejaskan perjalanan liga.
Keyakinan badan pengelola itu hadir ketika saingan semakin kompetitif, dengan setiap kelab perlu memastikan pengurusan kewangan dan operasi berada pada tahap yang membolehkan mereka menyelesaikan kempen musim ini.