Jaguh badminton para perseorangan lelaki (SU5), Cheah Liek Hou, mengakui pingat emas yang dirangkul dalam Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Jepun memberi suntikan besar kepada dirinya untuk meraih pingat emas Sukan Para Asia Aichi-Nagoya, Jepun, bermula 18 Oktober depan.
Setelah tiga bulan berehat tanpa sebarang kejohanan, Liek Hou kini kembali menemui sentuhan berbisanya untuk mempersiapkan diri menghadapi temasya yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu.
Liek Hou mengatasi Taiyo Imai dari Jepun dalam aksi final dengan keputusan straight set 21-13, 21-11 untuk muncul juara.
"Saya dapat membina tahap keyakinan selepas tiga bulan tidak bertanding sejak kejohanan di Paris.
"Dalam tempoh itu, saya dapat memulihkan diri dan kecergasan.
"Saya harap dalam sebulan ini, ia berada dalam keadaan yang bagus," katanya.
Sementara itu, dia akan beraksi bersama Faris Azri dalam acara beregu lelaki SU5, namun tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana masih mencari keserasian bersama menuju temasya tersebut.