Pasukan gergasi Liga Hoki Malaysia (LHM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), kembali menyatukan pemain terbaik hasil daripada program Thunderbolts sebagai "rencah utama" aspirasi sasaran tiga kejuaraan musim 2026.
Skuad berkenaan akan membuka kempen liga dengan aksi Piala Sumbangsih menentang penyandang juara, Tenrengganu Hockey Team (THT), pada 11 April ini.
Advertisement
Musim baru, pemain baru dan barisan kejurulatihan baru menjadi pemangkin buat TNB mencipta impak maksima di bawah kendalian Madzli Ikmar.
Tiga pemain baru akan memperkuat skuad ampuh TNB ialah Akhimullah Anuar Esook, Andywalfian Jeffrynus dan Syarman Mat Tee.
Akhimullah kembali ke pangkuan TNB sebagai penyerang berkaliber selepas mengharungi lima musim menakjubkan bersama THT menerusi pencapaian dua kejuaraan treble.
"Saya agak terkejut kerana sudah lama saya tinggalkan TNB untuk ke THT selama lima tahun," kata Akhimullah kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Saya rasa memang patut menabur bakti kerana sejak saya di sekolah sukan, ia memang atas sokongan Thunderbolts.
"Saya berada dalam program Thunderbolts sejak di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pada 2013, di situ mereka mengenali bakat saya."