Pasukan berstatus gergasi, Tenaga Nasional Berhad (TNB), mengambil langkah drastik apabila mempertaruh khidmat Madzli Ikmar sebagai ketua jurulatih menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM) yang akan bermula 11 April ini.
Madzli atau lebih mesra disapa 'Dot' mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan tiga trofi yang berada dalam kabinet kejuaraan Terengganu Hockey Team (THT) ketika ini.
Advertisement
Olimpian itu juga diberi mandat terbesar dalam karier kejurulatihan yang sebelum ini lebih sinonim dengan jawatan penolong jurulatih kepada Nor Saiful Zaini.
Meskipun TNB memiliki skuad paling ampuh dalam saingan, namun ia bukan jaminan untuk meraih kejuaraan.
Ini kerana, sejarah telah membuktikan bahawa deretan bintang TNB yang majoritinya merupakan pemain skuad negara, The Speedy Tigers, telah dikecewakan THT musim lalu.
"Saya sudah menjadi pembantunya sejak 2015 ketika dalam divisyen kedua.
"Giliran saya diberi tanggungjawab oleh pengurusan mengambil alih pasukan.
"Banyak ilmu diperoleh tentang disiplin dan bagaimanan menarik minat setiap sesi latihan.
"Harapan kami memang tinggi.
"Pemain yang ada sekarang adalah pemain paling terbaik dalam negara, jadi kita tiada alasa untuk gagal," katanya kepada pewarta Nadi Arena, Karl Nunis.