Hasrat Terengganu Hockey Team (THT) untuk mempertahankan gelaran juara Piala Sumbangsih di laman sendiri, Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu tidak kesampaian apabila tewas 4-5 kepada TNB Thunderstars, Sabtu lalu.
Ia secara tidak langsung menyaksikan TNB Thunderstars yang bermain dengan 16 tonggak The Speedy Tigers membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah RM5,000.
Advertisement
Ketua jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, tetap berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak buahnya meskipun sedikit terkilan kerana jaringan yang membezakan kedua-dua pasukan muncul pada saat-saat akhir.
"Daripada segi prestasi tidak jauh bezanya kerana Thunderstars mempunyai ramai berkualiti negara.
"Sepanjang 60 minit perlawanan Piala Sumbangsih, pemain telah menunjukkan perkara positif bahawa mereka juga boleh bersaing dengan Thunderstars," katanya di Nadi Arena.
Bagaimanapun, menjelang perlawanan seterusnya menentang Maybank, Harfizi menuntut kebangkitan segera anak buahnya dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM).
"Kami akan perbaiki kelemahan daripada aspek pertahanan termasuk ketika pukulan sudut penalti," katanya.