Hasrat TNB Thunderbolt untuk mencipta kejutan ke atas pasukan lebih berpengalaman, Maybank, hampir menjadi kenyataan sebelum terpaksa akur dengan kekalahan tipis 0-1 dalam aksi liga di Stadium TNB.
Jaringan tunggal Muhammad Najmi Farizal Jazlan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31 sudah cukup untuk memastikan Maybank membawa pulang tiga mata penuh.
Bagi skuad kendalian Iman Gobinathan, jumlah jaringan bukan keutamaan utama sebaliknya kemenangan menjadi sasaran wajib bagi memastikan misi mereka dalam saingan liga terus berjalan lancar.
Sebagai pasukan yang lebih berpengalaman, Maybank dilihat lebih mengutamakan penguasaan permainan, namun Thunderbolt tetap berupaya mencetuskan beberapa situasi cemas di benteng pertahanan lawan.
Iman mengakui bukan mudah untuk mendapatkan corak permainan yang diinginkan berikutan jadual perlawanan yang rapat, berbeza dengan Thunderbolt yang dilihat memiliki konsistensi lebih baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Bukan mudah untuk mendapatkan corak permainan yang dimahukan berdasarkan selang antara satu perlawanan ke perlawanan, tidak sama seperti pasukan Thunderbolt yang memiliki konsisten daripada perlawanan ke perlawanan dan kita dapat lihat kelancaran dalam permainan mereka,” katanya.
Sementara itu, TNB Thunderbolt kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin tetap melihat kekalahan berkenaan sebagai petanda positif, meskipun peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan gagal dimanfaatkan.
Nor Saiful mengakui pemainnya sudah mempamerkan aksi yang baik, namun kegagalan menyudahkan peluang menjadi penghalang untuk mereka sekurang-kurangnya mengutip satu mata.
“Saya berasakan kami dapat bermain dengan baik namun tidak berjaya mendapatkan gol untuk pasukan.
“Jika kami meraih kemenangan, slot ke separuh akhir sudah pasti dan kini kami akan melihat kepada perlawanan seterusnya dan berharap pasukan dapat ke separuh akhir,” katanya.
Sebagai pasukan muda, Thunderbolt kini perlu memberi tumpuan kepada baki perlawanan liga dengan sasaran menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik bagi mengesahkan tempat ke Piala TNB.
Kekalahan tipis kepada Maybank itu sekurang-kurangnya membuktikan Thunderbolt mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan yang lebih berpengalaman, namun ketajaman di depan gawang perlu diperbaiki jika mereka mahu merealisasikan sasaran.