Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) menjatuhkan hukuman berat kepada bekas ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong, yang berupa larangan melatih selama 10 tahun.
CNN Indonesia melaporkan hukuman itu dijatuhkan KFA selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Fair Play awal bulan ini.
Terdapat tiga hukuman yang dijatuhkan kepada pengendali itu larangan melatih selama 10 tahun, larangan terlibat dalam sebarang pertandingan dalam apa jua jawatan dan penggantungan kekal daripada kesemua kelab domestik.
Bagaimanapun, hukuman ini hanya berkuat kuasa di Korea Selatan dan tidak terpakai di negara lain, sekali gus Tae-yong masih boleh melatih kelab lain di luar Korea Selatan.
Tae-yong ketika ini sedang mengendalikan kelab Indonesia, Persija Jakarta.
Memetik laporan daripada media Korea Selatan, Channel A, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sudah pun menerima maklumat mengenai hukuman berkenaan dan mengesahkan keputusan itu tidak memberi sebarang kesan terhadap karier Tae-yong bersama kelab Liga Super Indonesia berkenaan.
berdasarkan laporan pelbagai sumber, kes berkenaan dikatakan berpunca daripada dakwaan Tae-yong menampar pemain pertahanan, Jung Seung-hyun, ketika bersama Ulsan HD.
Dia kemudian dipecat daripada jawatan pengendali kelab K-League itu, hanya dua bulan selepas memegang jawatan berkenaan.