Dunia hiburan dan sukan seni bela diri berduka selepas Chuck Norris meninggal dunia pada usia 86 tahun di pulau Kauai, Hawaii.
Norris menghembuskan nafas terakhir disertai ahli keluarga tercinta selepas mengalami kecemasan perubatan.
Advertisement
Chuck Norris, nama sebenarnya Carlos Ray Norris, dilahirkan pada 10 Mac 1940. Beliau memulakan kerjaya sebagai atlet seni bela diri dan menjadi grandmaster karate dan Tang Soo Do, sebelum menembusi dunia filem. Kehebatan fizikal dan disiplin ketatnya menjadikan dia ikon global dalam seni mempertahankan diri.
Dia juga pernah melatih selebriti terkenal dan menyebarkan seni bela diri di peringkat antarabangsa.
Selain gelanggang seni bela diri, Norris terkenal dengan filem aksi seperti, Missing in Action, The Delta Force, Siri televisyen Walker, Texas Ranger.
Watak 'tough guy' yang dibawa dalam filem dan televisyen menjadikannya simbol keadilan, keberanian, dan ketahanan fizikal yang diidolakan jutaan peminat di seluruh dunia.
Selain dunia nyata, Chuck Norris menjadi fenomena internet melalui 'Chuck Norris Facts' -- jenaka viral yang menggambarkan dia sebagai individu 'terlalu hebat' sehingga melampaui logik manusia biasa. Fenomena ini memastikan namanya terus hidup dalam budaya popular generasi muda.
Walaupun berusia 80-an, dia kekal aktif dalam aktiviti kecergasan, kerja kebajikan, dan memberi motivasi kepada generasi baru tentang disiplin, kesihatan, dan mentaliti positif.
Sylvester Stallone, Jean-Claude Van Damme dan Lee Majors antara yang memberi penghormatan atas sumbangannya, manakala peminat seluruh dunia menyifatkannya sebagai legenda tiada bandingnya.
Chuck Norris bukan sekadar pelakon atau atlet. Beliau adalah simbol kekuatan, ketahanan dan keberanian. Dari gelanggang seni bela diri ke layar Hollywood, hingga ke fenomena internet, nama Chuck Norris akan terus dikenang sepanjang zaman.