Olimpian negara, Datuk M. Kumaresan, melahirkan kebimbangan ke atas skuad berbasikal negara yang kehilangan ikon penting dalam memacu kegemilangan trek berbasikal negara.
Kumaresen menjangkakan penurunan graf daripada segi prestasi berpotensi untuk berlaku seperti mana yang telah dilalui skuad terjun negara selepas kehilangan bekas ketua jurulatih negara, Yang Zhuliang, pada 2017.
Bagi Kumaresen, impak kehilangan Pengarah Teknikal Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), John Beasley, adalah besar apatah lagi tiada individu yang layak menggantikan peranan Beasley selepas ini.
"Kebimbangan saya ketika ini standard atlet negara akan merundum seperti sebagaimana yang berlaku dalam sukan terjun sebaik jurulatih dari China undur diri.
"Anda akan lihat penurunan (standard Malaysia)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Jika tidak mahu ia berlaku, MSN bersama PKBM perlu segera mencari jalan untuk mengecilkan potensi penurunan prestasi berbasikal trek negara.
Namun, risiko impak ketiadaan Beasley tetap akan berlaku dan jika ada pengganti luar sekalipun, individu itu tetap memerlukan masa untuk mencari keserasian dalam segala aspek.
"Kena cari pengganti yang berpengalaman tetapi bukan mudah buat penggantinya.
"Setidak-tidaknya memerlukan dua tahun -- untuk belajar budaya dan cara -- dan dalam masa sama graf akan menurun," katanya.