Bekas pemain kebangsaan, Ong Ewe Hock, berpandangan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, seperti 'orang yang terapung di lautan'.
Perkara itu susulan perjalanan pemain berusia 28 tahun itu yang terhenti seawal pusingan 32, Kejohanan Badminton Terbuka Vietnam 2026 selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pemain dari Taiwan, Zhe Ying Wu, yang berada di ranking ke-88 dunia itu dalam tempoh 47 minit pertarungan dalam kejohanan yang berstatus Super 100 itu .
"Zii Jia seperti orang yang terapung di laut dalam kapal tanpa radar atau nakhoda. Tiada hala tuju yang jelas dan itu satu keadaan yang menyedihkan.
"Bagi kualitinya, keputusan itu kurang baik kerana dia tidak sepatutnya kalah kepada pemain yang tidak dikenali. Saya rasa sekarang ia lebih kepada aspek mental." katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Malah, selain berharap isu luar gelanggang mampu diselesaikan segera, Ewe Hock turut bersifat terbuka untuk memberikan pandangan serta nasihat kepada pemain kelahiran Alor Setar itu jika diperlukan.
"Tak salah untuk dia mendekati beberapa bekas pemain dan mendapatkan nasihat yang mungkin boleh membantu. Saya juga bersedia jika dia perlukan pandangan.
"Tangannya seperti terikat dan mungkin dia memerlukan seseorang untuk membantunya melepaskan diri daripada semua masalah di luar gelanggang," tambahnya.