Legenda NBA, LeBron James, mengumumkan bahawa beliau akan menyertai Philadelphia 76ers, sekali gus membuka lembaran terakhir dalam karier gemilangnya dengan satu matlamat jelas -- memburu kejuaraan NBA sekali lagi.
Pengumuman itu dibuat menerusi beberapa hantaran di media sosial semalam, sekali gus menamatkan spekulasi berpanjangan mengenai destinasi pemain yang bakal memasuki musim ke-24 dalam karier NBA, rekod terpanjang dalam sejarah liga.
Menurut LeBron, keputusan itu bukan didorong oleh wang mahupun faktor keluarga, sebaliknya keinginan untuk terus bersaing di tahap tertinggi.
“Ini adalah keputusan terakhir saya. Saya tidak bermain kerana wang. Saya juga bukan membuat keputusan kerana keluarga. Apa yang saya mahukan sekarang ialah terus berkorban, terus bekerja keras, terus bersaing dan merasai sekali lagi nikmat bergelar juara.”
LeBron percaya mampu membantu Philadelphia 76ers menamatkan kemarau kejuaraan yang berlarutan selama 43 tahun.
“Saya percaya saya boleh membantu menjadikan Philadelphia 76ers sebuah pasukan juara. Saya teruja untuk menghidupkan semangat penyokong baharu dan memulakan perjalanan terakhir ini.”
LeBron tidak mendedahkan butiran kontraknya, namun ESPN melaporkan beliau menandatangani perjanjian selama dua tahun bernilai ASD8 juta, termasuk pilihan pemain (player option).
Nilai itu jauh lebih rendah berbanding lebih ASD50 juta yang diterimanya bersama Los Angeles Lakers musim lalu, sekali gus menggambarkan kesediaannya mengorbankan pendapatan demi peluang memburu satu lagi kejuaraan.
Sepanjang lapan musim bersama Lakers, LeBron menghadiahkan gelaran NBA pada 2020 selepas sebelum itu menikmati kejayaan bersama Miami Heat dan Cleveland Cavaliers.
Di Philadelphia, LeBron akan bergandingan dengan Joel Embiid, Tyrese Maxey dan pemain baharu Jaylen Brown, sekali gus membentuk antara gandingan paling digeruni menjelang musim 2026-27.
Kehadiran LeBron turut meningkatkan keyakinan pemerhati terhadap peluang Sixers memburu gelaran, apabila peluang mereka menjuarai NBA dilaporkan meningkat daripada 20-1 kepada 10-1 sejurus selepas pengumuman tersebut.
Musim lalu, Philadelphia mara ke playoff selepas menempah slot ketujuh Eastern Conference menerusi kejohanan play-in sebelum disingkirkan juara akhirnya, New York Knicks, pada pusingan kedua.
LeBron turut mendedahkan bahawa beliau hampir membuat keputusan untuk bersara selepas Lakers tersingkir daripada playoff musim lalu.
“Saya fikir saya sudah selesai apabila musim berakhir. Saya perlukan masa untuk berfikir sama ada saya masih mencintai permainan ini. Selepas beberapa minggu, saya sedar saya masih sayangkan bola keranjang dan masih ada sesuatu untuk diberikan.”
Pada usia 41 tahun, LeBron terus membuktikan dirinya masih berada pada tahap elit apabila merekodkan purata 20.9 mata, 6.1 rebound dan 7.2 bantuan jaringan dalam 60 perlawanan musim lalu.
Dia juga mencipta sejarah sebagai pemain pertama bergandingan dengan anaknya, Bronny James, dalam perlawanan musim biasa NBA pada 2024.
Dipilih sebagai pilihan pertama NBA Draft 2003, LeBron telah memenangi empat kejuaraan NBA, empat anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) serta muncul MVP Final sebanyak empat kali.
Kini, selepas lebih dua dekad mendominasi liga, beliau memilih Philadelphia sebagai destinasi terakhir kariernya.
Jika impiannya menjadi kenyataan, LeBron bukan sahaja akan menutup tirai karier sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman, malah berpeluang menamatkan penantian 43 tahun Philadelphia 76ers untuk menjulang kejuaraan NBA.