Lebih 500 kanak-kanak mengambil bahagian dalam Kidsnergy Merdeka Run 2026 yang berlangsung di pusat beli-belah MyTOWN, Kuala Lumpur, Ahad.
Program larian sejauh 2.4 kilometer itu bukan sekadar memberi peluang kepada kanak-kanak menamatkan larian dan membawa pulang pingat, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan asas serta nilai positif dalam sukan sejak usia muda.
Pengasas bersama Kidsnergy, Wong Kang Woon, berkata penganjuran program berkenaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran asas olahraga menerusi program Kids Athletics.
Menerusi kerjasama bersama Olahraga Malaysia (MA), peserta diberi pendedahan kepada tiga asas utama olahraga iaitu larian, lompatan dan balingan.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan kanak-kanak bukan sahaja aktif secara fizikal, malah memahami asas sukan serta membina keyakinan diri menerusi aktiviti yang menyeronokkan.
Tidak terhenti pada larian, Kidsnergy turut merancang untuk menganjurkan Grand Finale pada Oktober depan yang bakal menghimpunkan beberapa jenis sukan.
Antara sukan yang dirancang termasuk badminton, pickleball, bola tampar, futsal dan renang, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada kanak-kanak untuk mengenali serta mencuba pelbagai disiplin sukan.
Lebih menarik, penganjur turut merancang membuka penyertaan kategori kanak-kanak istimewa secara percuma bagi program yang akan berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad.
Langkah itu mencerminkan usaha Kidsnergy untuk menjadikan sukan sebagai ruang yang lebih inklusif dan boleh disertai semua golongan kanak-kanak.
"Kidsnergy serta Olahraga Malaysia (MA) untuk membentuk penganjuran acara mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan olahraga yang dikenali sebagai KidsLeague," katanya.